Sunday, May 30, 2010

Konsert Rossa di Stadium Putra 'pukau' 4,000 penonton



KUALA LUMPUR 29 Mei - Konsert sulung penyanyi terkenal Indonesia, Rossa di negara ini berjaya menarik perhatian 4,000 penonton yang ternyata tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan hebat artis popular itu, malam ini.
Berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, konsert yang menelan belanja hampir RM2 juta itu merupakan konsert yang cukup dinanti-nantikan oleh peminat setia penyanyi itu memandangkan ia merupakan konsert pertama Rossa di luar Indonesia.
Apatah lagi, Konsert Melodi Cinta Rossa merupakan kesinambungan daripada kejayaan dua siri konsertnya iaitu Konsert Persembahan Cinta dan Konsert Cerita Cinta yang berlangsung di beberapa buah bandar di Indonesia sepanjang tahun 2008.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak ketinggalan hadir menyaksikan konsert yang turut menampilkan 50 orang kanak-kanak daripada program Permata Negara mengiringi persembahan Rossa menerusi satu segmen istimewa.
Sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani telah mendendangkan lebih daripada 20 buah lagu popularnya dengan diiringi muzik orkestra oleh 30 orang pemuzik professional di bawah pimpinan Yovie Widianto.
Antara lagu yang disampaikan penyanyi itu adalah Hati Yang Terpilih, Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Tegar, Pudar, Hey Ladies, Hati Yang Kau Sakiti, Terlanjur Cinta dan Atas Nama Cinta.
Pada persembahan yang dianjurkan oleh Limaduabelas Musik dengan kerjasama Marctensia itu turut menyaksikan Rossa berduet dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha di samping kumpulan ST12.
Malah, komposer dan penyanyi muda tempatan yang semakin meningkat naik, Aizat juga tidak ketinggalan membuat kemunculan istimewa apabila berduet bersama Rossa.
Selepas kejayaan Konsert Melodi Cinta, Rossa tidak menolak kemungkinan akan mengadakan konsert keduanya di negara ini dan juga negara serantau lain seperti Singapura dan Brunei.

No comments:

Post a Comment