Sunday, May 30, 2010

Keselamatan perhimpunan GAS hari ini terjamin



KUALA LUMPUR 29 Mei - Orang ramai yang hadir pada perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di The Mines, Seri Kembangan esok tidak perlu risau dengan keselamatan mereka kerana perhimpunan tersebut mempunyai permit dan akan dikawal oleh anggota polis.
Bekas Timbalan Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, GAS sudah mengadakan perbincangan dengan pihak polis baru-baru ini bagi membincangkan keselamatan perhimpunan yang dijadualkan bermula pukul 2 petang.
"Perhimpunan ini akan dijalankan secara aman dengan bertujuan memberi isyarat kepada Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berundur dari jawatan Presiden MIC secepat mungkin.
"Setakat ini 300 Ketua Cawangan MIC sudah menyatakan persetujuan untuk menyokong perhimpunan ini dan saya jangka 15,000 orang akan hadir esok," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP. Samy.
Mugilan berkata, perhimpunan itu juga akan dipantau oleh CWC bagi melihat jumlah sokongan kaum India terhadap GAS.
"Beberapa individu di CWC sudah menghubungi saya berkenaan perhimpunan itu dan mereka juga akan memantau perkembangan sokongan kaum India terhadap GAS pada hari tersebut.
"Mereka juga akan mengadakan sidang akhbar pada Isnin depan untuk mengulas mengenai perhimpunan tersebut," katanya.
Mugilan turut mendakwa bahawa terdapat ancaman daripada pihak tertentu untuk mencetuskan huru-hara pada perhimpunan itu dalam usaha menakutkan orang ramai yang hadir.
Sementara itu, polis akan menempatkan bilangan anggota mencukupi bagi mengawal keselamatan perhimpunan GAS tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku semasa perhimpunan berkenaan dijalankan kira-kira pukul 2 petang.
"Kita akan membuat pemantauan termasuk kawalan lalu lintas ekoran peningkatan jumlah penyokong yang dijangka hadir pada perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya akan menempatkan anggota di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan di sekitar Ibu Pejabat MIC walaupun perhimpunan tersebut telah ditukarkan ke Pusat Konvensyen dan Pameran Mines.
Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
habis.

No comments:

Post a Comment