Sunday, May 30, 2010

Tingkatkan budaya membaca rakyat





HENG Seai Kei melihat judul buku yang dibaca oleh seorang pelajar, Lee Keen You, ketika melawat perpustakaan SMJK Yuk Choy di sekolah tersebut di Ipoh, semalam. - Mingguan malaysia/Mohd. Najib Mohd. Nor


IPOH 29 Mei - Kerajaan mahu meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat yang kini meliputi purata lapan hingga 12 buku setahun kepada 15 buku setahun menjelang 2013.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, langkah itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan dan berpengetahuan tinggi.
''Kita masih kurang berpuas hati dengan pencapaian membaca rakyat kita yang berada pada kedudukan sederhana tinggi di kalangan negara membangun.
''Sehubungan itu kita akan cuba meningkatkan budaya membaca melalui program Mari Membaca 1Malaysia dan program-program lain seperti mewujudkan sudut membaca dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bas ekspres dan pusat beli-belah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Mari Membaca 1Malaysia Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar.
Ia merupakan pelancaran pertama di peringkat negeri selepas dilancarkan pada peringkat kebangsaan pada 2 Mei lalu dan pemilihan Perak dibuat bersesuaian dengan pemilihan anak tempatan, Datuk Michelle Yeoh selaku Ikon Membaca 1Malaysia.
Mengulas lanjut Seai Kie berkata, pembekalan rak dan buku dalam kereta api telah dilancarkan pada tahun lepas dan ia mendapat sambutan menggalakkan, malah ada buku yang hilang.
Katanya, keadaan itu memang sudah dijangka kerana penumpang mungkin membawa pulang buku tersebut kerana tidak sempat menghabiskan bacaan semasa dalam perjalanan.
''Oleh itu, pihak kementerian melalui Perpustakaan Negara Malaysia sentiasa membuat semakan ke atas rak-rak untuk menambah semula buku yang kurang," katanya.
Ditanya mengenai sudut membaca dalam bas ekspres beliau berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat Sri Maju dan sekiranya berjaya, semua bas syarikat tersebut akan dibekalkan rak dan buku.
Mengulas mengenai program Mari Membaca 1Malaysia, Seai Kie berkata, lebih 1,000 buah sekolah menengah yang mempunyai Kelab Bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris akan menerima sumbangan buku yang bernilai RM1 juta menerusi program itu.
Katanya, setiap sekolah akan menerima sebanyak 27 buah buku iaitu 17 buah dalam bahasa Mandarin dan 10 buah dalam bahasa Melayu serta Inggeris.
''Kita tunggu kejayaan program ini dahulu dan selepas itu baru kita rancang untuk memperluaskan program ini ke sekolah-sekolah rendah termasuk membekalkan bahan bacaan dalam bahasa Tamil," ujarnya.

No comments:

Post a Comment