Sunday, May 30, 2010

Jangan buat tuduhan tanpa usul periksa



PEKAN 29 Mei - Perdana Menteri mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak membuat tuduhan sesama sendiri tanpa usul periksa hingga boleh menjejaskan imej parti.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN menegaskan, tindakan sedemikian dianggap amat keterlaluan jika tuduhan yang dilemparkan tidak tepat.
Menurut beliau, setiap bentuk tuduhan perlu disiasat kesahihannya terlebih dahulu terutama jika membabitkan anggota dalam komponen BN.
"Kita tidak boleh mengatakan orang ini buat ini dan orang itu buat itu sebab kalau kita tidak ada bukti dan tidak sahih, akhirnya kita terpaksa mengaku kesilapan kita sendiri. Kita kena siasat dahulu kesahihannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat agung Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) Ke-10 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Anggota Jawatankuasa Pusat MIC, S. Vell Paari yang memohon maaf di atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.
Dalam kenyataan ringkasnya semalam Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku baru-baru ini.
Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversi yang dikemukakan itu kerana beliau berasakan adalah tugas beliau untuk membela bapanya.
Sebelum ini, Vell Paari mendakwa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen BN dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, setiap anggota BN tidak seharusnya mengulangi tindakan yang dilakukan oleh Vell Paari itu.
"Saya harap apa yang berlaku itu tidak berterusan dan terima kasihlah kerana dia (Vell Paar) telah memohon maaf," katanya.
Dengan permohonan maaf itu, beliau berharap isu tuduhan itu dihentikan dan dijadikan sebagai pengajaran oleh setiap anggota BN.
"Saya anggap cerita ini sudah habis, sudah tutup tetapi ini adalah satu pengajaran kepada pihak lain,"katanya.

No comments:

Post a Comment