Sunday, May 30, 2010

Lembaga Pengarah Sime Darby didesak letak jawatan



KUALA LUMPUR 29 Mei - Seluruh Lembaga Pengarah termasuk Pengerusi dan pegawai kanan Sime Darby Bhd. (Sime Darby) yang terlibat dalam pengendalian projek yang mengalami kerugian didesak meletakkan jawatan.
Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, semua yang berkenaan perlu meletak jawatan secara serentak atau kerajaan menyingkirkan mereka secepat mungkin bagi digantikan dengan barisan pengurusan baru.
Menurut beliau, kerajaan juga didesak menubuhkan jawatankuasa bebas yang boleh menyiasat kerugian tersebut bagi memastikan kerajaan terus mendapat kepercayaan rakyat.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu segera menyiasat kerugian itu walaupun tiada laporan dibuat kerana dikhuatiri dokumen-dokumen penting yang boleh dijadikan bukti akan hilang.
"Desakan ini dibuat demi menjaga integriti kerajaan supaya terus mendapat kepercayaan rakyat, sama seperti janji-janji bahawa kerajaan akan bersikap telus dan tidak bertolak ansur jika berlakunya penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas kongres itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sime Darby, sebelum ini dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.63 bilion daripada Bahagian Tenaga dan Utiliti akibat berlaku lebihan kos daripada projek di Qatar dan juga Empangan Bakun di Sarawak.
Selain usul terhadap Sime Darby itu, terdapat satu lagi usul tergempar yang dikemukakan oleh peserta kongres iaitu mengenai isu lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia.
Jelas Ibrahim, peserta kongres sebulat suara mendesak kerajaan supaya menarik balik lesen itu kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.
"Apa pun alasan yang diberikan iaitu untuk membendung judi haram, namun ia tidak boleh diterima sama sekali.
"Kongres juga mendesak kerajaan negeri supaya mengarah pihak berkuasa tempatan menarik balik lesen premis judi yang dikeluarkan seperti 4 nombor ekor, loteri, pusat hiburan dan kedai arak sebagai langkah membasmi keruntuhan akhlak dan gejala sosial," katanya.

No comments:

Post a Comment