Thursday, August 12, 2010

Jangan tinggal anak dalam kereta



KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ibu bapa perlu mengambil berat aspek penjagaan anak-anak dengan tidak memberi ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perlakuan yang boleh mengancam keselamatan anak-anak mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan tersebut supaya sebarang bentuk jenayah membabitkan kanak-kanak dapat dibanteras.
“Penjenayah sering mencari ruang bagi melakukan jenayah walaupun dalam tempoh yang singkat dan tidak mustahil mereka mempunyai pelbagai motif bagi melakukannya.
“Pada awalnya, mungkin niat penjenayah ingin merompak atau mencuri tetapi terdapat peluang lain seperti kanak-kanak berada di dalam kenderaan atau rumah yang terlibat menyebabkan penjenayah cenderung untuk menculik pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasangan ibu bapa yang berjaya menggagalkan niat sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier semalam untuk melakukan cubaan menculik salah seorang anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun.
Dalam pada itu Mohd. Bakri mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali meninggalkan anak mereka walau hanya seketika di dalam kenderaan.
‘‘Ini kerana ia tetap memberi ruang kepada penjenayah melakukan kegiatan jenayah seperti culik, rogol dan bunuh,’’ katanya.
Bagi menangani jenayah membabitkan kanak-kanak, katanya, masyarakat juga perlu mempunyai sikap menjaga tepi kain orang lain untuk membantu pihak polis membasmi jenayah.
“Pihak polis amat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai bagi membantu kita menjalankan tugas dan menangani masalah sosial dan jenayah di negara ini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat tiga elemen berlakunya jenayah iaitu penjenayah, mangsa dan ruang yang diberi.
“Ibu bapa mampu mengelak berlakunya kejadian jenayah dengan mengecilkan risiko dan jangan memberi peluang yang boleh mendedahkan anak-anak sebagai mangsa kepada penjenayah.
“Jangan biarkan anak-anak berada di luar lingkungan pengawasan kita walaupun hanya seketika kerana ia mampu memberi ruang dan peluang berlakunya perkara yang kita tidak ingini,” katanya.
Katanya, kejadian culik juga boleh mendorong penjenayah melakukan kekerasan terhadap mangsa termasuk rogol.

No comments:

Post a Comment