Saturday, September 18, 2010

BN Kelantan lantik pegawai khas urus daftar pemilih



KOTA BHARU 17 Sept. - Barisan Nasional (BN) Kelantan melantik seorang pegawai khas untuk menguruskan pendaftaran pemilih baru bagi mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pegawai khas daripada UMNO itu akan bertugas minggu depan dan bertanggungjawab mengadakan mesyuarat dengan wakil-wakil parti komponen berhubung perkara itu.
Menurut beliau, pegawai terbabit juga bertanggungjawab dalam memantau kejayaan atau kegagalan proses pendaftaran pemilih melibatkan ahli-ahli parti komponen.
"Sebelum ini kita mengunakan pelbagai kaedah tetapi belum lagi berjaya. Dengan pelantikan pegawai sepenuh masa untuk memantau tindakan ini diharap bilangan yang mendaftar akan meningkat selepas ini termasuk juga dalam kalangan rakan BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di sini hari ini.
Mesyuarat tiga bulan sekali itu dihadiri semua pemimpin parti komponen termasuk wakil masyarakat Siam.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, sebelum ini bilangan pendaftaran pemilih baru di kalangan parti komponen kurang memuaskan dan pelantikan pegawai khas itu diharap dapat menambah bilangan mereka yang layak berdaftar sebagai pemilih.
Beliau berkata, BN mahu memastikan sokongan padu daripada masyarakat bukan bumiputera di negeri ini.
Untuk mencapai hasrat tersebut jelasnya, mesyuarat hari ini juga bersetuju supaya Wanita BN menjayakan program ziarah melibatkan penyertaan semua parti komponen.
"Sebelum ini setiap parti buat program berasingan, selepas ini kita akan buat bersama. Satu lagi, kita akan buat perhimpunan parti komponen BN secara besar-besaran hujung tahun ini untuk menyatakan sokongan padu rakyat Kelantan kepada BN," katanya.
Mengenai mesyuarat hari ini, Mustapa berkata, ia membolehkan parti-parti komponen berkongsi pandangan dan program yang dilaksanakan bagi membolehkan mereka lebih memahami isu-isu tempatan.

No comments:

Post a Comment