Saturday, September 18, 2010

Habeas corpus bekas Sultan Kelantan, 21 Okt.


PUTRAJAYA 17 Sept. - Mahkamah Khas menetapkan 21 Oktober ini bagi mendengar permohonan habeas corpus bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra bagi membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Seminggu sebelumnya iaitu pada 14 Oktober pula ditetapkan pengurusan kes bagi membolehkan baginda selaku pemohon serta kelima-lima responden memfailkan afidavit dan dokumen berkaitan sebelum tarikh pendengaran.
Kedua-dua tarikh ditetapkan hari ini oleh Pendaftar Mahkamah Khas, Hamri Thamri Mohamad di kamar beliau di Istana Kehakiman di sini.
Sultan Ismail Petra diwakili peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan Datuk Mohd. Haaziq Pillai manakala Adam Abdullah mewakili kedua-dua responden Pengarah HUSM dan Ketua Pengarah Kesihatan.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said pula hadir bagi pihak tiga responden lain iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Gobind ketika ditanya sama ada Sultan Ismail Petra akan melakukan pindaan terhadap writ habeas corpus tersebut kerana baginda bukan lagi seorang sultan, beliau menyatakan, pihaknya tetap meneruskan permohonan tersebut.
Menurut Gobind, pemohon akan memfailkan afidavit balasan dengan memasukkan perkembangan terbaru yang berlaku agar mahkamah dapat meneliti dan memutuskannya.
Peguam itu turut menyatakan, permohonan habeas corpus itu akan didengar oleh panel lima hakim bersidang.
Ia selaras dengan Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa mahkamah perlu dianggotai oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, dua Ketua Hakim dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan atau dua Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.
Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.
Pada 7 Mei lalu, Sultan Ismail Petra melalui peguamnya mengambil langkah yang julung-julung kali dibuat oleh seorang sultan dengan memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa baginda keluar dari HUSM dengan serta-merta.
Baginda dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 4 Mei lalu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.
Bagaimanapun, baginda yang dirawat di HUSM selama lima hari dibenarkan keluar dan berangkat balik ke Istana Mahkota, Kota Bharu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment