Saturday, September 18, 2010

Sekolah Harapan: Lima keluarga minat letak anak




2010/09/18

AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas   Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
Sekolah Harapan mula terima panggilan telefon, SMS daripada ibu bapa

JASIN: Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri di sini untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah.Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.
“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran. 
Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina, berkata Sekolah Harapan bukan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah pelajar hamil, malah dikhuatiri mencetuskan epidemik hamil luar nikah dalam kalangan pelajar.

“Banyak kaedah lain boleh dilaksanakan untuk menangani masalah kehamilan luar nikah, termasuk melalui kerjasama ibu bapa dan masyarakat. STU tidak bersetuju dibuka Sekolah Harapan di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Wisma STU di Jalan Song, di sini semalam.

Katanya lagi, ibu bapa dan masyarakat perlu bersama menyelesaikan masalah itu dan bukannya menempatkan pelajar hamil di tempat tertentu kerana ia lebih kepada usaha untuk menutup malu, sebaliknya langkah terbaik ialah mencari pasangan yang menghamilkan pelajar itu. 

No comments:

Post a Comment