Saturday, September 18, 2010

SKMM selesai 13 kes hasutan laman web


Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/09/18

Kaedah siasatan berbeza jenayah biasa: Rais 

SARIKEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan pihaknya lambat bertindak, lemah dan tidak berkemam-puan menyiasat kandungan berunsur hasutan serta fitnah di laman web berikutan sejumlah 13 kertas siasatan mengenainya sudah diserahkan kepada Peguam Negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata SKMM mempunyai cukup kepakaran mengendalikan kes di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 namun siasatan mengenainya adalah berbeza dengan kes jenayah biasa serta ia perlu dilakukan berhati-hati.
Katanya, dakwaan SKMM lewat bertindak atau tidak mampu menyiasat adalah tidak benar kerana ia mempunyai kakitangan pakar dalam bidang sains dan forensik komputer yang mampu mengendali serta memantau maklumat tidak benar di internet. 

“Kita sudah selesaikan 13 kes termasuk membabitkan laman web yang membuat dakwaan palsu ke atas Sultan Perak, Sultan Johor, hasutan agama serta fitnah di internet dengan sedang menunggu proses seterusnya daripada pihak Peguam Negara. 

“Mungkin kita tidak mempunyai pakar terbaik di dunia, namun SKMM mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan serta pasukan penguatkuasaan yang terbabit memantau kandungan laman web secara berkesan,” katanya selepas melancarkan Projek Kampung WiFi di rumah panjang Guntol, Nanga Bekiok, Merurun di Julau dekat sini. Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli. 

Mengulas mengenai program di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara di Sarawak, Rais berkata, Kerajaan Pusat berhasrat membina 203 menara telekomunikasi baru dalam tempoh setahun setengah yang mampu menyediakan perkhidmatan jalur lebar di seluruh negeri itu. 
“Saya meminta syarikat telekomunikasi yang mempunyai menara sendiri ketika ini tidak memberhentikan operasi menara mereka berikutan hasrat kerajaan ini kerana ia bertentangan dengan undang-undang yang sudah ditetapkan. 

“Jika kita mempunyai lebih banyak menara, perkhidmatan jalur lebar di Sarawak akan menjadi lebih baik dengan sasaran penebusan 50 peratus jalur lebar di seluruh negara dapat dicapai dengan lebih cepat,” katanya. 

Ketika ini, kadar penembusan jalur lebar di negeri ini adalah pada 37.9 peratus berikutan kekurangan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Berikutan itu, kerajaan melancarkan projek kampung WiFi termasuk menetapkan 50 kampung menerima perkhidmatan itu sebelum penghujung tahun ini. 

Beliau berkata, sasaran pihaknya adalah 600 kampung dan rumah panjang di Sarawak mendapat kemudahan jalur lebar dengan sejumlah 14,500 komputer 1Malaysia diagihkan kepada penduduk negeri ini terutama di kalangan pelajar. 

"Kita bukan saja mahu jalur lebar ini sampai kepada rakyat malah kita turut mahu mengagihkan satu juta komputer 1Malaysia kepada mereka bagi membolehkan perkhidmatan internet dapat digunakan dalam pelbagai bidang. 

"Komputer 1Malaysia ini akan diagihkan kepada mereka yang berkelayakan secara berperingkat bagi kemudahan pembelajaran anak-anak serta meningkatkan pengetahuan rakyat terutama di luar bandar," katanya. 

No comments:

Post a Comment