Saturday, September 18, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Murugiah buat laporan SMS fitnah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah membuat laporan polis ekoran penyebaran sistem mesej singkat (SMS) yang memfitnah beliau mempunyai pertalian rapat dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh jam 1.18 pagi semalam.
Menurutnya, beliau menyedari penyebaran fitnah itu setelah dimaklumkan rakannya ketika dalam perjalanan ke Ipoh bagi menghadiri majlis tiga hari di sana.

“SMS itu adalah fitnah yang sengaja mengaitkan saya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu sedangkan kandungannya tidak benar sama sekali. “Saya yakin SMS berkenaan mungkin dihantar orang yang mempunyai kepentingan politik dan mendapat manfaat sekiranya karier politik saya dibunuh. Perkara ini amat serius kerana ia bukan saja memfitnah saya tetapi penyebarannya juga boleh menjejaskan penyiasatan kes berprofil tinggi itu,” katanya.

Beliau berkata, antara kandungan SMS itu berbunyi “peguam yang kena tuduh dalam kes Sosilawati bercadang sertai MIC kata Murugiah yang juga kawan baik beliau. Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri berkenaan dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan). Murugiah adalah rakan kongsi peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam urusan itu.” Bagaimanapun, Murugiah menafikan suspek terbabit mengendalikan ROS seperti yang didakwa apatah lagi menerima wang jutaan ringgit. “SMS itu sengaja dihantar bagi menjejaskan imej dan kedudukan saya dan sebagai Timbalan Menteri. Suspek juga bukan peguam yang mengendalikan kes ROS seperti yang dinyatakan,” tegasnya Sebelum ini, Murugiah ketika menziarahi keluarga Sosilawati mendedahkan pernah bertemu dengan suspek utama pembunuhan tersebut, iaitu peguam bergelar Datuk itu dalam satu majlis penyampaian sumbangan hari raya di Banting, Selangor, Rabu minggu lalu dan pada majlis itu suspek turut menyatakan hasratnya kepada Murugiah untuk menyertai MIC.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkenaan daripada Murugiah.

No comments:

Post a Comment