Saturday, September 18, 2010

Kaki kiri dipotong 2 kali

MASJID TANAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menerima hakikat kaki kirinya dipotong buat kali kedua selepas dikesan mengalami jangkitan kuman menyebabkan dia terpaksa meraikan kedatangan Syawal dalam keadaan suram.
Bagaimanapun, Muhamad Izwan Mustapa, 10, menerima ketentuan Ilahi itu dengan hati terbuka.
Muhamad Izwan dari Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina, dekat sini, kini tidak mampu bergerak aktif seperti rakan sebaya akibat kakinya ditimpa jentolak ketika bermain dengan seorang rakannya dalam kejadian pada 20 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, rakannya Muhammad Aiman Mohd Derus, 14, terbunuh selepas dihempap jentolak yang hilang kawalan sewaktu menyusur tebing di kawasan sawah terbiar di kampung itu.

Muhamad Izwan berkata, dia sedih dengan kejadian itu dan menyifatkan tahun ini paling menyedihkan kerana kakinya hancur hingga terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman.

“Malah, saya juga masih trauma yang teruk akibat kejadian itu selain sering terbayangkan (kemalangan) apa yang berlaku. Sukar untuk bercerita kerana saya masih teringat kejadian menimpa diri,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bapanya, Mustapa Kadir, 46, berkata dia reda dengan apa yang berlaku dan menganggap sudah ditakdirkan anaknya kehilangan sebelah kaki, tetapi bersyukur kerana masih boleh meneruskan kehidupan walaupun serba kekurangan.

“Dulu keadaannya tidak macam ini, biasanya bila hari raya dia, adik bongsunya bersama rakan akan riang bermain bunga api dan mercun di tengah sawah, tetapi sekarang terpaksa memerap seharian di dalam rumah saja.

“Saya dan isteri sudah puas membanting tulang bekerja sebagai penoreh getah untuk menyediakan wang perbelanjaan berulang-alik ke hospital bagi merawat kaki anak, tetapi masih belum mencukupi,” katanya.

Katanya, selepas anaknya ditimpa kemalangan, dia ada menerima insuran kelompok yang diuruskan pihak sekolah, namun bayaran RM100 diterima bagaikan tidak masuk akal dan kini sedang diproses semula.

“Namun, saya berterima kasih kepada wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Limau, Amiruddin Yusop) kerana menyumbangkan kerusi roda kepada anak kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment