Saturday, September 18, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Keputusan DNA empat hari lagi

KUALA LUMPUR: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang dipercayai milik Datuk Sosilawati dan tiga individu lain akan diketahui dalam tempoh empat hari lagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, keputusan berkenaan diperoleh dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel DNA itu baru dihantar kelmarin.
“Sampel berkenaan baru dihantar ke Unit Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pakar memberitahu keputusan hanya diperoleh dalam tempoh empat hari lagi.

“Saya tidak boleh memastikan bila keputusan itu boleh diperoleh, namun ia mengambil masa selama empat hari,” katanya.

Katanya, semua sampel DNA itu sudah diperoleh dan kini diuji pihak hospital bagi menentukan sama ada ia milik mangsa atau sebaliknya.

Sebelum ini, Harian Metro difahamkan sekiranya tulang yang ditemui tidak terbakar prosesnya mungkin mengambil masa singkat, namun jika sebaliknya ia mengambil masa lama.

Persampelan tulang juga agak sukar dilakukan berbanding sampel lain seperti darah dan rambut kerana ia perlu dihancurkan terlebih dulu bagi mendapatkan debu.

Polis juga sudah mengambil contoh darah dan rambut semua ahli keluarga mangsa bagi dipadankan dengan sampel DNA yang diambil daripada tulang yang ditemui di tempat kejadian di Ladang Gadong dan sungai berhampiran bagi memastikan sama ada tulang yang ditemui itu tulang mangsa.

No comments:

Post a Comment