Saturday, September 18, 2010

Mohon pencen

MELAKA: Bagi mengenang pengorbanan besar mereka berjuang memerangi ancaman komunis pada zaman darurat, kira-kira 30,000 ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) meminta kerajaan agar mempertimbangkan permintaan untuk menerima bayaran pencen bulanan.
Presidennya, Shafie Bakri berkata, daripada 250,000 anggota polis tambahan diambil berkhidmat ketika zaman darurat dari 1948 hingga 1972, kini hanya kira-kira 30,000 anggota yang masih hidup dengan usia rata-rata sudah menjangkau 70 tahun.
Beliau berkata, semua anggota polis tambahan zaman darurat termasuk anggota pengawal kampung (home guard) hanya diberi elaun khas selepas diberhentikan dan kebanyakannya kini hidup miskin dan menanggung pelbagai penyakit.

“Kami berasa permintaan PBPM wajar dipertimbangkan kerana 250,000 anggota polis tambahan zaman darurat yang diambil di bawah Peraturan Darurat menggadai nyawa selain berperanan membantu beberapa batalion tentera melawan ancaman komunis.

“Malah, ada anggota pasukan polis tambahan itu berdepan dengan pertempuran (ketika darurat) dan hidup mereka masih dibayangi ketakutan apabila terus dijejaki ejen komunis selepas era darurat berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemberian sumbangan Aidilfitri kepada 100 bekas anggota polis itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, di Bukit Beruang, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Negeri Melaka, Datuk Md Idris Hameem Marikar. Shafie berkata, setakat ini, pihaknya sudah menyerahkan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Jun lalu termasuk memanjangkannya kepada Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

No comments:

Post a Comment