Saturday, October 2, 2010

Musharraf yakin pulang ke Pakistan sebelum 2013





2010/10/02

LONDON: Bekas Presiden Pakistan dalam buangan, Pervez Musharraf semalam merangka perancangan untuk kembali semula ke arena politik dengan melancarkan sebuah parti baru bagi mendapatkan sokongan. 

Musharraf menolak anggapan bahawa beliau akan dituduh dengan dakwaan khianat apabila kembali ke Pakistan, tetapi mengakui ada ‘ancaman lain’ termasuk cubaan membunuhnya daripada kumpulan militan.
“Saya akan menghadapi risiko, tetapi akan melakukannya pada masa sesuai,” kata Musharraf. Beliau tidak menyatakan bila beliau akan kembali tetapi berkata: “Saya tidak tunggu hingga 2013”.
Jeneral bersara itu dijangka melancarkan parti Liga Muslim Seluruh Pakistan di London bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya umum 2013, walaupun beliau memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) akan kembali daripada kehidupan dalam buangan selama dua tahun di Britain sebelum itu. 

“Saya dalam proses mewujudkan suasana baru - dan semakin kuat saya dalam politik, saya akan mempunyai lebih banyak alasan untuk ke sana dan melindungi diri saya,” kata Musharraf kepada radio BBC. 

Presiden berusia 67 tahun itu meletakkan jawatan pada Ogos 2008 selepas sebuah kerajaan baru dipimpin bekas perdana menteri yang dibunuh, Benazir Bhutto mengancam untuk mengambil tindakan terhadapnya. Beliau diganti Presiden Asif Ali Zardari, suami Benazir. 

Musharraf mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1999 dan memberi amaran minggu ini bahawa Pakistan sedang menghadapi risiko rampasan kuasa terhadap Zardari. 
Beliau juga menggesa agar tentera diberikan peranan dari segi perlembagaan dalam keadaan politik yang terumbang-ambing di Pakistan. 

Dalam temu ramah semalam, beliau mengulangi bahawa tentera adalah satu-satunya ruang bagi rakyat bergantung harap ketika negara berdepan ancaman militan dan kedudukan ekonomi yang goyah. – AFP

No comments:

Post a Comment