Saturday, October 2, 2010

Pertandingan tiga penjuru



KUALA LUMPUR-Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan kesediaannya bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun popularitinya kurang berbanding pihak lawan. 

Beliau yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, pihaknya menghormati kekuatan yang ada pada dua pesaingnya iaitu Penyelaras PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. 

“Setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Justeru, saya menghormati kekuatan Zaid dan Azmin kerana ini adalah proses untuk memilih pemimpin yang terbaik. 

“Pendekatan yang saya ambil kini ialah bekerja dalam kumpulan dan hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk memberi pilihan kepada anggota parti bagi menilai saya,” katanya dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam. 

Menurutnya, walaupun sebelum ini beliau kalah dalam pemilihan ketua cabang di Pasir Salak, namun beliau yakin akan memperoleh sokongan padu pada hari pengundian kerana cabangnya itu tetap mencalonkannya bertanding jawatan timbalan presiden. 

“Saya menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan itu dengan hati terbuka dan melihat banyak hikmah terkandung di sebalik kekalahan itu. Malah, saya rasa hak yang telah diberi tidak perlu dipertikaikan. 

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan setelah menyemak sokongan akar umbi di setiap negeri, peluang dan sokongan yang saya peroleh setakat ini tidak kurang hebat memihak kepada saya,” katanya. 

Beliau berkata, setiap calon yang bertanding mewakili semua, bukan mewakili individu tertentu atau anggota tertinggi parti. 

“Setiap yang bertanding tidak mewakili sesiapa baik Anwar Ibrahim mahupun Wan Azizah atau mana-mana pimpinan tertinggi. Setiap calon mewakili semua anggota parti dan kita berjuang dalam satu parti,” katanya. 

Ketika ditanya mengenai keberkesanan politik nilai yang dibawa parti itu, beliau berkata: “Kita yakin, dengan mengangkat nilai moderat, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti dalam pemilihan kali ini mampu merobohkan politik lama yang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN)."

No comments:

Post a Comment