Saturday, October 2, 2010

Siasatan polis curi syabu ikut Kanun Keseksaan



Oleh Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2010/10/02

Kesalahan anggota pasukan keselamatan jejas integriti: Hishammuddin 

KUALA LUMPUR: Siasatan 10 anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor yang mencuri kira-kira 40 kilogram syabu daripada 753,539 kilogram bernilai RM254 juta yang dirampas dalam serbuan dadah terbesar di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, Mei tahun lalu, akan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan Majlis Peguam supaya kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana ia membabitkan kes jenayah dan boleh menjejaskan integriti pasukan keselamatan.
“Ketua Polis Negara juga sudah membuat kenyataan tegas (berhubung perkara itu) begitu juga Ketua Polis Pahang (Datuk Robiah Abdul Ghani) yang akan menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya bagi membawa kes itu ke mahkamah. 

“Hal yang boleh menjejaskan imej dan integriti polis, kita tak boleh benarkan berterusan walaupun (yang melakukan) membabitkan pegawai kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri KDN di Padang Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, di sini semalam. 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. 

Hishammuddin berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan rakyat terus yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana walaupun yang melakukannya adalah anggotanya namun mereka tidak akan terlepas daripada tindakan jika terbukti melakukan kesalahan. 
Beliau juga meminta sesuatu isu dan kes yang sedang disiasat polis tidak dipolemikkan kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat. 

Katanya, semua kes yang disiasat termasuk membabitkan kes berprofil tinggi disiasat merentasi warna kulit serta agama dan kementerian terus memantau perkara itu bagi memastikan ia dijalankan secara profesional. 

Perkara itu katanya, sepatutnya tidak diperdebatkan dan diperbesarkan sebaliknya masyarakat perlu sabar kerana semua kes dalam siasatan polis dan mengambil masa.

No comments:

Post a Comment