Saturday, October 2, 2010

PBB digesa desak Israel bebas Maguire



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/02

pix_gal0
Pemenang Hadiah Nobel kena tahan sejak 28 September lalu 

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa diminta mengenakan tekanan terhadap Israel yang menahan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mairead Maguire, 67, sejak 28 September lalu supaya membebaskan aktivis keamanan itu.
Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) menyuarakan kemarahan atas penahanan itu yang disifatkan kejam kerana kehadiran Mairead bertujuan mempromosikan keamanan semata-mata.
Pengarah Eksekutif PGPO, Datuk Seri Mohd Azumi Mohamed, berkata tindakan rejim Zionis itu bertujuan menghalang Maguire daripada menyertai persidangan Nobel Women’s Initiative di Israel dan Palestin. 

“Beliau dihalang memasuki Israel dan ditahan sejak 28 September lalu dan hari ini hadir di mahkamah untuk menentang perintah pengusiran yang dikeluarkan kepadanya. Tindakan itu jelas menunjukkan dasar Israel yang terus menindas, menggertak dan mengganggu aktivis kemanusiaan,” katanya. 

Maguire yang berasal dari Ireland terbabit secara aktif dalam usaha masyarakat antarabangsa menamatkan kepungan Israel ke atas Gaza dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan askar Yahudi itu menculik dan membunuh orang awam dalam serangan ke atas kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu. 

Sementara itu, pasangan suami isteri yang juga rakan rapat Maguire, Derek dan Jenny Graham, turut mengutuk kekerasan yang digunakan Israel untuk menahan aktivis itu. 
“Beliau diheret keluar dari kapal terbang sebaik mendarat oleh empat lelaki sehingga tubuhnya lebam. Kami tidak faham mengapa mereka perlu berbuat demikian kerana dia cuma seorang nenek dan mahu memperjuangkan keamanan,” kata mereka.

No comments:

Post a Comment