Thursday, December 16, 2010

6 bulan jelajah dunia tunggang motosikal kapcai


Oleh Rashidi Karim

2010/12/16

Jurutera selamat pulang kembara 24 negara

PADANG BESAR: ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien, 39, yang mencipta kelainan selepas berjaya mengharungi cabaran mengelilingi dunia secara solo dengan menunggang motosikal kapcai Modenas 128cc. 

Beliau memulakan perjalanan menjelajah dunia dari Kuala Lumpur pada 24 April lalu dan mengakhiri misi sejauh 30,000 kilometer dengan merentasi beberapa benua sebelum tiba di London, pada 24 Oktober lalu.
"Saya berasa puas," itulah ungkapan pertamanya sebaik menjejakkan kaki di tanah air bersama motosikalnya berhampiran pintu sempadan Perlis-Thailand, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.Ketibaan Syed Ahmad yang juga seorang jurutera dan chef terlatih disambut Kelab Motosikal Beseri yang menunggu di pintu sempadan. 

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pelbagai cabaran ditempuhi selama enam bulan merentasi 24 negara dengan menunggang motosikal kapcai berkuasa rendah sebagai menyahut cabaran Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib. 

"Ramai beranggapan perjalanan mengelilingi dunia ini kerja gila berikutan kenderaan digunakan jenis kapcai dan mungkin membawa masalah ketika dalam perjalanan. Namun, saya dapat membuktikan dan berjaya sampai ke destinasi dituju serta selamat pulang ke tanah air,” katanya. 

Katanya, beliau terpaksa menghadapi pelbagai masalah termasuk berdepan penyeluk saku ketika misi perjalanan tiba di India, selain terpaksa mengharungi cuaca melampau termasuk panas, sejuk dan bersalji. 
"Bayangkan saya terpaksa mengharungi pahit maung ketika merentasi laluan setinggi 5,486 meter dari paras laut dalam keadaan cuaca begitu sejuk sebelum tiba di sebuah perkampungan di pergunungan di Balucistan, Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan. 

"Selain disoal siasat anggota keselamatan di negara berkenaan, saya terpaksa bermalam di balai polis yang dilalui di situ bagi menjaga keselamatan berikutan kawasan terbabit amat berbahaya untuk orang asing berjalan pada waktu malam,” katanya. 

Syed Ahmad berkata, misi perjalanan itu merentasi beberapa negara Asia, termasuk Thailand, Nepal, India, Asia Barat dan menghabiskan masa beberapa hari di sekitar Jerman, sebelum meneruskan perjalanan peringkat akhir menuju London. 

No comments:

Post a Comment