Thursday, December 16, 2010

Padi musnah akibat banjir lebih RM8j


KANGAR 15 Dis. - Kira-kira 1,200 petani mengalami kerugian terkumpul melebihi RM8 juta setelah padi muda mereka musnah akibat banjir besar pusingan pertama yang melanda negeri ini selama dua minggu awal November lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, mereka yang menanggung kerugian itu terdiri daripada petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar MADA.
"Bagi sawah di luar kawasan MADA, seluas 1,877.41 hektar tanaman padi telah ditenggelami banjir. Daripada keluasan tersebut pula, 1,626.41 hektar rosak teruk dengan kerugian tanaman padi RM8.1 juta milik 1,257 petani.
"Sawah dalam kawasan MADA yang ditenggelami banjir pula meliputi 8,416.11 hektar. Bancian yang dijalankan berikutan banjir itu menunjukkan 5,929 hektar tanaman padi dalam kawasan MADA rosak," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mat Hassan (BN-Kuala Perlis) dan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Sabry memberitahu, bantuan pemulihan kepada petani yang mengalami kerugian akibat bencana alam itu telah diagihkan secara berjadual iaitu RM876 bagi setiap satu hektar berbanding bantuan serupa akibat banjir 2005 cuma RM573 setiap hektar.
Katanya, bantuan RM876 itu membantu petani membeli benih padi, baja dan menampung kos putaran serta perata tanah untuk tanaman semula padi.

No comments:

Post a Comment