Thursday, December 16, 2010

Padah kenyataan hina dewan


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Tindakan tiga ahli Parlimen pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugur), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) menghina Dewan Rakyat dengan membuat kenyataan di luar dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengundang padah.
Ini kerana, hari ini, satu usul untuk menggantung ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut selama enam bulan atas kesalahan menghina Dewan Rakyat telah dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan ia terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Menurut usul itu, Karpal dan Sivarasa yang merupakan anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen didapati menghina Dewan Rakyat kerana telah membuat kenyataan di luar dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tentang keterangan serta surat yang dikemukakan semasa mesyuarat pada 3 Disember 2010.
Karpal dan Sivarasa dikatakan telah melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85, iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum jawatankuasa itu membawa penyata tersebut kepada Majlis (Dewan Rakyat).
Pada masa sama, berdasarkan usul itu juga, Azmin, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) telah menyentuh tentang keterangan serta surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan juga pada tarikh yang sama.
Oleh itu, usul berkenaan menjelaskan, tindakan ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut merupakan satu perbuatan menghina serta menyalahi hak dan keistimewaan mereka sebagai ahli Parlimen selain, satu penghinaan kepada Dewan Rakyat.
Usul yang dikemukakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kenyataannya yang menuduh gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Apco Worldwide.
Semalam, jawatankuasa berkenaan telah mengemukakan syor supaya Anwar digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ekoran tuduhan palsu tersebut.
Jika keempat-empat ahli Parlimen pembangkang itu digantung, Barisan Nasional (BN) melalui sokongan wakil rakyat Bebas seramai lapan orang akan mendapat semula majoriti dua pertiga di Parlimen apabila Dewan Rakyat kembali bersidang selepas ini dalam tempoh enam bulan.
Buat masa ini BN mempunyai 137 kerusi dan pembangkang menguasai 77 kerusi dengan DAP (29 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (25 kerusi) serta Pas (24 kerusi). Jika pengantungan itu menjadi kenyataan keseluruhan kerusi Parlimen berkurang kepada 218 kerusi berbanding 222 kerusi sekarang.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan bahawa kedua-dua usul untuk menggantung Anwar dan tiga lagi ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan dibahaskan esok bagi memutuskan nasib mereka.
"Kedua-dua usul akan dibahas esok, usul mengenai syor menggantung Anwar sudah jelas manakala, usul mengenai cadangan untuk menggantung tiga lagi Yang Berhormat diterima kerana ia dibuat di bawah kuasa menteri dan Peraturan Mesyuarat 27 (3) membenarkan ia dibuat dalam tempoh 24 jam," jelasnya.

No comments:

Post a Comment