Thursday, December 16, 2010

Selangor mahu tarik lesen Syabas


SHAH ALAM 15 Dis. - Kerajaan negeri akan menarik lesen pembekalan air yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ekoran keengganan syarikat itu mematuhi arahan menghentikan program Tabung Budi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya kini menunggu masa yang sesuai untuk mengambil tindakan tersebut melalui mahkamah.
Beliau berkata, tempoh selama 14 hari yang diberikan kepada Syabas untuk menghentikan program Tabung Budi telah tamat pada 6 Disember lalu dan pihaknya masih belum mendapat jawapan daripada syarikat itu.
"Kini kita ada sebab boleh tarik lesen Syabas. Kita hanya tunggu masa yang sesuai untuk pergi ke mahkamah.
"Kita akan tunjukkan kepada mahkamah yang Syabas tidak ikut arahan kerajaan negeri.
"Kita tak mahu mereka buat kerja kebajikan. Tugas kebajikan biar kerajaan negeri yang buat," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini petang ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan isu program Tabung Budi yang telah diarah dihentikan dalam tempoh 14 hari oleh kerajaan negeri pada 23 November lalu.
Arahan di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997 itu dikeluarkan atas alasan Syabas didapati melanggar syarat perjanjian konsesi air.
Mengikut notis itu, Lesen Pembekalan Air yang diberikan kepada Syabas mengikut Subseksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Syabas, Siti Rozalina Mohd. Noor ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya akan memberikan maklum balas mengenai perkara itu semasa program turun padang Tabung Budi di Gombak dekat sini esok.
Pada 26 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan memberitahu, Syabas tidak akan menghentikan program Tabung Budi seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor.
Menurut beliau, sebaik sahaja menerima notis pemberhentian daripada kerajaan negeri bertarikh 23 November lalu, Syabas telah melantik peguam bagi menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang berkemungkinan diambil oleh pentadbiran negeri.
Kata beliau, Syabas bersedia diheret ke mahkamah dan dibicarakan kerana percaya mereka berada di pihak yang benar.

No comments:

Post a Comment