Thursday, December 16, 2010

Menteri nafi polis Malaysia sebagai sumber maklumat

PENDEDAHAN WIKILEAKS TENTANG KES LIWAT
Hishammuddin tegaskan perincian dan rahsia siasatan sentiasa dijaga dan dipertahan


PUTRAJAYA: Pendedahan terbaru mengenai kes liwat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti dalam kabel diplomatik yang dibocorkan WikiLeaks tidak diperolehi daripada maklumat risik polis dan siasatan ke atasnya.
Demikian menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.'Pendedahan yang menyentuh perbuatan liwat seperti yang tersiar dalam WikiLeaks itu tiada kaitan langsung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM),' katanya seperti ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.Beliau berkata demikian sewaktu mengulas mengenai pendedahan WikiLeaks di mana agensi perisikan Singapura mengesahkan mengenai kegiatan Anwar berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi Malaysia.'Dalam konteks ini, saya ingin tegaskan bahawa semua maklumat dan rahsia mengenai siasatan yang dilakukan PDRM sentiasa terpelihara dan sememangnya dijaga serta dipertahankan kerana ia membabitkan imej selain kredibiliti PDRM sendiri,' tambahnya.'Pendedahan dalam laman web WikiLeaks di mana sumber perisikan Singapura mengesahkan kepada pihak Australia bahawa Ketua Pembangkang itu memang terlibat dalam kegiatan meliwat tiada kaitan dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara ini,' jelasnya seperti ditukil akhbar Utusan Malaysia.'Apa yang didedahkan oleh WikiLeaks adalah perbincangan antara dua pihak iaitu Singapura dengan Australia,' katanya lagi.Oleh itu, menurutnya, adalah tidak bertanggungjawab jika ada pihak cuba mengaitkan perkara itu dengan polis atau Kementerian Dalam Negeri Malaysia.Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Ismail Omar, pula kelmarin menafikan PDRM membocorkan maklumat kepada WikiLeaks.'Saya tidak mahu pasukan polis diheret ke dalam perkara ini. Kami adalah pasukan yang profesional dan tahu tugas dan tanggungjawab kami,' tegasnya seperti ditukil akhbar The Star semalam.Beliau berkata begitu semasa mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar menerusi Twitter berhubung kabel diplomatik yang didedahkan WikiLeaks, yang menunjukkan agensi perisikan Australia dan Singapura membincangkan kes liwatnya.Perbualan itu mendakwa Cawangan Khas (SB) PDRM sebagai sumber pendedahan seperti dilapor akhbar Australia, Sydney Morning Herald.Datuk Seri Anwar dilapor berkata:'Sumber? Polis SB Malaysia. Bukti tak ada.' - BHM, Utusan Malaysia, The Star.

No comments:

Post a Comment