Thursday, December 16, 2010

SPRM tutup kes Nik Aziz, menantu


KUALA LUMPUR 15 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup dua kes berprofil tinggi melibatkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil berkata, kedua-dua kes itu berhubung dakwaan yang Nik Abdul Aziz menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji dan pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK.
Menurutnya, pejabat Peguam Negara (AG) telah meneliti laporan siasatan yang dijalankan SPRM dan berpendapat bahawa pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK (ditukar dari ketua pegawai operasi kepada CEO) lebih kepada pertukaran nama jawatan.
Jelasnya, berdasarkan enakmen PMBK, menteri besar mempunyai kuasa penuh untuk melantik pegawai dan kakitangannya.
"SPRM juga meneliti laporan siasatan terhadap Nik Abdul Aziz yang dikatakan menerima suapan berupa pakej mengerjakan haji pada 2009 bernilai RM65,000 daripada pemilik sebuah syarikat.
"Selepas siasatan dijalankan dan diteliti oleh AG, diputuskan tiada sebarang tuduhan boleh dibuat kerana berdasarkan keterangan yang diperolehi, Nik Abdul Aziz tidak pernah meminta pembiayaan kos mengerjakan haji tersebut.
"Perjalanan untuk mengerjakan haji juga tidak dilaksanakan dan oleh yang demikian, kedua-dua kes berprofil tinggi melibatkan Menteri Besar Kelantan itu dan menantunya ditutup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau dan beberapa Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM mengadakan mesyuarat di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Jalan Duta di sini.
SPRM pada hujung tahun lalu membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.
Dalam pada itu, Hadenan memberitahu bahawa SPRM turut menutup kes penyelewengan kuasa dan rasuah ke atas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
Ka Siong dikatakan gagal mengisytiharkan dirinya sebagai pengarah dan mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat perunding.
"Hasil siasatan SPRM dan penelitian AG, tiada pendakwaan dibuat kerana Ka Siong telah melepaskan semua jawatannya sebagai pengarah dalam syarikat berkenaan.
"Beliau (Ka Siong) juga telah mengisytiharkan segala hartanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

No comments:

Post a Comment