Wednesday, July 20, 2011

EC sahkan Yingluck sebagai Ahli Parlimen



Yingluck (tengah) ketawa ketika didekati pemberita, sebaik-baik tiba di ibu pejabat Parti Pheu Thai di Bangkok, semalam. - AP


BANGKOK 19 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (EC), hari ini mengesahkan kemenangan Yingluck Shinawatra sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum Thailand 3 Julai lalu, sekali gus membuka laluan untuknya menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara ini.

Pengesahan tersebut juga mengenepikan semua aduan yang dikemukakan pihak tertentu terhadap Yingluck berhubung pencabulan peraturan pilihan raya baru-baru ini.

Yingluck, adik perempuan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra merupakan pemimpin Parti Pheu Thai yang memenangi pilihan raya umum itu dan berhadapan pelbagai dakwaan salah laku semasa kempen pilihan raya.

Suruhanjaya tersebut hari ini turut mengesahkan kemenangan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dari Parti Demokrat, menyaksikan pemimpin itu memainkan peranan pembangkang di Parlimen.

"Semuanya berjalan lancar. Suruhanjaya sebulat suara menolak semua aduan yang dikemukakan terhadap Yingluck dan Abhisit," kata seorang daripada pesuruhjaya EC, Sodsri Satayatham.

EC hari ini mengesahkan kemenangan 12 Ahli Parlimen, menjadikan jumlah keseluruhan Ahli Parlimen yang telah disahkan kepada 370 orang.

Sodsri dalam pada itu berkata, EC akan bertemu sekali lagi pada Khamis ini untuk membincangkan kes-kes yang masih belum selesai.

Suruhanjaya itu perlu mengesahkan kemenangan 475 daripada 500 Ahli Parlimen bagi membolehkan Parlimen bersidang buat pertama kali bagi memilih Speaker dalam tempoh 30 hari selepas pilihan raya diadakan.

Speaker akan menetapkan persidangan kedua Parlimen dalam tempoh sehari atau dua kemudian bagi melantik Perdana Menteri. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment