Wednesday, July 20, 2011

KDN tapis artikel 'The Economist' kritik tindakan polis di demo Bersih

KUALA LUMPUR: Di sebalik usaha pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memperbaiki imejnya yang terjejas teruk ekoran liputan meluas perhimpunan Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, pada 9 Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia pula menapis sebuah artikel edisi terbaru majalah The Economist menyentuh isu tersebut.

Pihak berkuasa didapati menghitamkan beberapa bahagian pada artikel yang mendakwa pendekatan Putrajaya menangani perhimpunan Bersih 2.0 sebagai satu tindakan keterlaluan kerana 'cemburu', demikian lapor laman berita dalam talian, The Malaysian Insider, semalam.

Beberapa tulisan media antarabangsa juga telah memberikan kritikan pedas terhadap cara Putrajaya menangani isu itu.

Antara bahagian yang dihitamkan oleh KDN ialah perkataan-perkataan yang menyifatkan tindakan polis sebagai keras dan dakwaan bahawa kerajaan menarik balik tawarannya kepada penganjur perhimpunan bagi menggunakan stadium.

Artikel bertajuk, Taken to the cleaners - an overzealous government response to an opposition rally menyenaraikan urutan kekecohan pada 9 Julai lalu, apabila polis menggunakan gas pemedih mata dan air berasid menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur bagi menuntut pembaharuan pada proses pilihan raya.

Meskipun artikel penuh boleh diperoleh secara dalam talian, KDN menghitamkan empat bahagian, yang salah satunya melaporkan kematian seorang peserta perhimpunan.

Allahyarham Baharuddin Ahmad, seorang anggota Parti Islam Semalaysia (PAS) dan suami seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), pengsan ketika cuba melarikan diri daripada tindakan polis di kawasan KLCC.

Kelmarin, polis mengumumkan bahawa pihaknya telah menubuhkan enam jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan kezaliman polis ketika menguruskan perhimpunan itu.

Menurut The Economist, Malaysia ada sejarah menapis artikel-artikel yang disiarkan.

Dalam rencana yang dihasilkan September lalu, The Economist berkata KDN lazimnya akan menapis tulisan yang boleh menyinggung kaum Muslim.

Majalah itu menyenaraikan Malaysia di bawah India dan China dalam carta 12 negara sama ada yang menapis, melarang atau menyita naskhah-naskhahnya yang diedarkan dalam 190 negara di seluruh dunia.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment