Wednesday, July 20, 2011

“Sekeluarga pernah berlapar”



WAKAF BHARU – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Seorang isteri bukan sahaja tiada tempat bergantung apabila suaminya menghilangkan diri, tetapi kerana kedaifan hidup mereka, Noraizam Awang, 40, bersama tujuh anak pernah kelaparan.

Kesengsaraan itu terpaksa ditanggung bersendirian oleh Noraizam sejak suaminya itu, Azman Mat Ali @Ibrahim, 43, hilang tanpa sebarang berita sejak tiga tahun lepas.

Sejak itu, bermulalah detik-detik hitam buat keluarga ini apabila mereka sering terputus makanan manakala anak-anak pula sering tidak ke sekolah kerana Noraizam tidak mampu menyediakan wang saku mahu pun bekal makanan untuk anak–anaknya itu.

Lebih malang, rumah peninggalan orang tua suami Noraizam yang didiami keluarga ini sejak 23 tahun, dinding dan lantai banyak reput, manakala bumbung rumah hampir runtuh dan banyak bocor, amat memeritkan keluarga ini.

Noraizam berkata, dengan pendapatan RM10 sehari hasil upah mengasuh anak jiran, dia hanya mampu membeli beras sekilogram sehari untuk dimakan 9 beranak.

“Sekadar lauk telur mungkin saya mampu, kadang kala hari ini beli ikan, esok beli beras, namun dengan harga barang yang melambung tinggi sekarang ini, memang memeningkan kepala saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya berdekatan dengan jambatan Kedemit.

Menurutnya, itu pun upah mengasuh diambilnya setiap hari, waktu petang baru dapat upahnya dan dengan upah itu, terus dibeli keperluan dapur.

“Untuk saya bekerja di tempat lain, saya masih ada anak kecil berusia lima tahun, agak sukar untuk saya tinggalkannya apatah lagi menghantarnya ke rumah pengasuh” katanya.

Menurutnya, dengan wang RM10 ini jugalah, digunakan untuk perbelanjaan anak – anak ke sekolah dan dengan enam anak bersekolah, memang tidak cukup sehinggakan anak-anaknya terpaksa bergilir – gilir ke sekolah.

“Hari ini anak saya yang tingkatan lima ke sekolah, esok dia tidak ke sekolah bagi peluang kepada adiknya pula ke sekolah.

“Untuk mereka ke sekolah serentak, saya tidak dapat sedia wang saku mereka,” katanya.

Menurutnya, yuran persekolahan anaknya belum dibayar lagi sedangkan sekarang ini sudah di hujung tahun.

“Saya risau sekiranya saya tidak dapat sediakan wang untuk membayar yuran persekolahan anak – anak, mungkin anak saya yang tingkatan lima tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dia agak bernasib baik apabila anak sulungnya, Nurul Tasnin, yang sudah berumah tangga tinggal bersama, sekurang – kurangnya suami anaknya itu yang bekerja sebagai buruh dapat membantu tetapi mereka juga bukan orang senang kerana sudah mempunyai seorang anak.

“Dengan bil elektrik dan bil air tertunggak dua bulan, saya tertekan, sedih mengenangkan nasib kami anak beranak ini.

“Mungkin ini ujian hidup buat kami, tetapi berharap ada sinar untuk kami bebas dari belenggu kemiskinan ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah Noraizam menjejaki suaminya yang hilang, namun setakat ini suaminya masih belum ditemui.
SH

No comments:

Post a Comment