Wednesday, July 20, 2011

Suu Kyi peringati bapa


YANGON 19 Julai - Ikon demokrasi Aung San Suu Kyi hari ini mengetuai beratus-ratus pengikutnya menghadiri upacara memperingati ayahnya, Jeneral Aung San, di Tugu Peringatan di sini selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Myammar, buat pertama kalinya sejak 2002.

Sejumlah besar pengikutnya berkumpul di luar ibu pejabat parti pimpinannya, Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) di Yangon dan ramai yang mengikutinya berarak ke Tugu Peringatan Jeneral Aung San yang juga wira kemerdekaan Myanmar di Kandawgyi Lake.

Suu Kyi yang dibebaskan daripada perintah tahanan di rumah selepas pilihan raya kontroversi pada November lalu, kali terakhir menghadiri majlis itu sembilan tahun lalu.

Dengan memakai blaus putih dan skirt hitam tradisional, beliau melawati tugu peringatan itu dua kali, termasuk ketika majlis rasmi yang dihadiri oleh para pegawai kerajaan dan tentera.

Suu Kyi turut meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan yang menjadi simbol pembunuhan ayahnya dan beberapa pemimpin kemerdekaan lain pada 19 Julai 1947.

Beliau selepas itu mengadakan perjumpaan dengan diplomat Barat di ibu pejabat parti pimpinannya di Yangon.

Polis yang berpakaian preman dilaporkan mengawal majlis itu, tetapi pegawai turut membenarkan beratus-ratus penyokong Suu Kyi untuk memberi penghormatan kepada wira kemerdekaan itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment