Wednesday, July 20, 2011

Mangsa penutup konkrit hilang



JOHOR BAHRU – Keluarga mangsa jatuh longkang Sabtu lalu, Siti Noor Zuliana Marianto, 12, redha dan menganggap apa yang berlaku kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

Bapa mangsa, Marianto Mariono, 45, pula tidak mahu memanjangkan kes.

“Benda ini sukar nak cakap, ia berpunca kecuaian dari mana-mana pihak, kerana kegiatan curi penutup besi ini terjadi di mana-mana.

“Malah ini bukan insiden pertama yang berlaku ke atas anak saya, sebelum ini anak lelaki yang ketiga juga pernah mengalami nasib yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Larkin Perdana, semalam.

Marianto berkata, kecederaan anaknya tidak parah cuma terkilan insiden berlaku seminggu sebelum percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri itu yang bakal menduduki percubaan UPSR 26 Julai depan, kini terpaksa berehat di rumah akibat kecederaan di kakinya masih belum pulih.

Siti Noor Zuliana berkata, akibat insiden itu beliau sukar tidur dan sentiasa dalam kesakitan.

“Rasa amat sakit terutama waktu malam hingga sukar hendak tidur akibat bisa, jika terlalu sakit, saya akan menangis,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu jam 7 malam, Siti Noor Zuliana terjatuh lalu terperangkap dalam lubang longkang pembetung sedalam 9 meter selama sejam kerana tidak menyedari lubang longkang itu tiada penutup konkrit.

Dia yang tinggal bersama keluarga di sebuah pangsapuri sejak empat tahun lalu terjatuh ke dasar longkang itu ketika dalam perjalanan ke kedai berhampiran.

Berikutan itu, beliau cedera di kepala dan tangan kanan, dan kulit terkoyak di bahagian tulang kering kaki kanan.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, Khalid Mohamad yang melawat mangsa berkata, tindakan segera telah diambil dengan menggantikan penutup konkrit besi yang dicuri.

“Kegiatan curi besi penutup longkang ini atau vandalisme kerap berlaku, dan lokasi seperti di Larkin Perdana ini merupakan kawasan sibuk juga berlaku kecurian apatah lagi di kawasan-kawasan terpencil.

“Saya juga akan maklumkan kepada Datuk Bandar mengenai insiden ini bagi mendapatkan rawatan susulan dan sumbangan kepada mangsa sehingga beliau benar-benar pulih.

“Apa yang berlaku ini amat dikesalkan dan saya seru ibu bapa, nasihatkan anak-anak mereka agar lebih berhati-hati,” katanya.

Khalid berkata, insiden yang berlaku ini merupakan yang pertama dilaporkan pada tahun ini.
SH

No comments:

Post a Comment