Tuesday, October 2, 2012

Keunikan rumah tradisional Melayu



Ruang tamu utama berbentuk tiga penjuru dengan tingkap terbuka membolehkan cahaya matahari menyinari suasana dalam rumah.
TASEK GELUGOR 1 Okt. - Keunikan seni bina rumah tradisional Melayu di negeri ini semakin terhakis berikutan kedudukannya kini diambil alih oleh kepesatan projek perumahan moden.
Walaupun jumlahnya kian berkurangan, namun masih ada pemilik rumah masih mengekalkan keunikan rumah tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Salah seorang mereka ialah Abdul Samad Shahabudin, 61, yang memelihara keaslian seni bina rumah diwarisi daripada ahli keluarganya.
Rumah berusia kira-kira 100 tahun yang menggunakan kayu cengal dan merbau itu masih tersergam indah di Kampung Permatang Sungai Dua di sini.
Bahagian atas tingkap rumah papan itu diukir kerawang dan awan larat dari kayu tersebut.
"Saya mewarisi rumah ini daripada bapa saya Shahabudin Tuan Samad yang meninggal dunia pada 1977 ketika berusia 87 tahun.
"Rumah ini asalnya dari rumah warisan datuk dan nenek sebelah bapa saya yang tinggal di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Samad yang bekerja kampung berkata, pada 1970-an, dia membaiki beberapa bahagian rumah separuh papan itu dengan membina tambahan empat bilik dan dua bilik air menggunakan bata dan simen.
Dia turut menggantikan beberapa bahagian lantai papan rumah itu yang reput dimakan anai-anai.
"Walaupun dibuat tambahan, tetapi bahagian atas rumah yang dibina menggunakan kayu masih dikekalkan keaslian," katanya yang kini tinggal bersama isterinya, Radziah Salleh, 58.
Menurut Abdul Samad, dia percaya rumah yang didiaminya itu dibina oleh tukang kayu tempatan kerana reka bentuk kerawangnya menggunakan kayu sama ada jenis merbau atau pun cengal.
Katanya, atap genting rumah pula dipercayai diperoleh dari India dan reka bentuknya adalah zaman kolonial.
"Ini kerana bentuk rumah ini dengan bumbung agak tinggi, curam dan serambi seakan sama dengan bentuk rumah kerajaan yang terdapat di Jalan York di bahagian pulau," katanya.
Kata Abdul Samad, rumah tradisional lain seperti rumahnya mungkin tiada lagi di kawasan itu.
"Banyak orang tertarik dengan reka bentuk rumah ini kerana dibina di kawasan yang mempunyai padang dan kawasan lapang.
"Ada yang datang ke sini untuk mengambil gambar kerana mereka tertarik dengan keunikan reka bentuk rumah ini.
"Selain itu, ada pelajar universiti dan arkib negara yang menjadikan rumah ini sebahagian daripada bahan kajian mereka," katanya.
Abdul Samad berkata, pernah juga ada syarikat perfileman berminat untuk melakukan pengambaran filem di rumahnya, tetapi dia terpaksa menolak kerana sebab-sebab tertentu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121002/wu_01/Keunikan-rumah-tradisional-Melayu#ixzz289ds7EUU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment