Tuesday, October 2, 2012

Seorang Ahli Parlimen wilayah Di Az-Zur, Turki Az-Zayed dilaporkan telah berpaling tadah daripada kerajaan dan selamat tiba di Turki bersama keluarganya



Seorang Ahli Parlimen wilayah Di Az-Zur, Turki Az-Zayed dilaporkan telah berpaling tadah daripada kerajaan dan selamat tiba di Turki bersama keluarganya. Az-Zayed adalah Ahli Parlimen Syria ketiga yang berpaling tadah selepas Ikhlas Badawi dan 'Ali Muhammad El-Basyh, kedua-dua mereka Ahli Parlimen kawasan Halab.

Az-Zayed merupakan salah seorang daripada 14 orang Ahli Parlimen dalam wilayah Dir Az-Zur. 

Dewan Rakyat Syria waktu ini mempunyai 250 orang anggota yang dipilih selepas kerajaan Basyar mengadakan pindaan perlembagaan pada Mac 2012. Pindaan tersebut dilakukan kononnya bagi meredakan kemarahan rakyat akan tetapi sebenarnya ia memberikan peluang kepada Basyar untuk terus berkuasa.

Selepas pindaan dibuat, kerajaan Syria mengadakan pungutan suara rakyat sama ada mereka bersetuju atau tidak terhadap cadangan tersebut. Kumpulan pembangkang dan ulamak Syria memboikot pungutan suara tersebut kerana menjangkakan taktik kotor yang digunakan kerajaan bagi memenangkan pindaan tersebut walaupun majoriti rakyat tidak bersetuju. 

Keputusan pungutan suara diumumkan dan seperti dijangka, kerajaan mengumumkan lebih 90% rakyat negara itu bersetuju atas pindaan perlembagaan yang baru setelah peras ugut, paksaan, kekerasan dan penipuan daftar pemilih dilakukan. 

Di bawah pindaan baru tersebut, digubal peruntukkan mengehadkan tempoh jawatan Presiden Syria kepada dua penggal sahaja dan setiap satu penggal selama 7 tahun. 

Oleh itu, tempoh kekuasaan Basyar Al-Asad hanya akan bermula daripada pindaan tersebut berkuatkuasa dan ini bermakna Basyar akan kekal menjadi Presiden selama 14 tahun lagi!

No comments:

Post a Comment