Palestin tidak putus asa
Palestin akan mengemukakan permohonan status sebagai pemerhati bukan anggota di PBB pada tahun ini. Foto: Getty
SELEPAS hampir setahun berusaha untuk mendapatkan keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal, Pihak Berkuasa Palestin (PA) bersedia mencuba sekali lagi tahun ini, menurut ketua perunding PA, Saeb Erakat, baru-baru ini.

Tetapi tidak seperti tahun lalu, PA berhasrat mendapatkan status pemerhati bukan anggota yang dilihat sebagai peringkat pertama sebelum diiktiraf sebagai pemerhati tetap.

Menurut pemimpin PA, mereka kini bekerjasama dengan 170 negara untuk membentuk satu draf resolusi yang akan dikemukakan kepada badan antarabangsa itu selepas Presiden Mahmoud Abbas mengumumkan secara rasmi usaha tersebut pada Perhimpunan Agung PBB.

Undi resolusi itu boleh diadakan dalam tempoh 48 jam, tetapi ia mungkin akan ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tamat, bulan hadapan.

Difahamkan, kelulusan resolusi itu hanya bergantung kepada undian majoriti mudah.

Menurut Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), lebih 130 negara mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka pada masa ini.

Mei lalu, calon Republikan dan bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney menyatakan bahawa dia tidak meletakkan harapan tinggi terhadap keamanan di Timur Tengah.

Romney berpendapat kononnya tuntutan Palestin bukan atas tujuan untuk keamanan, tetapi lebih berbaur politik dan mahu menghapuskan Israel.
Susulan daripada kenyataan itu, Erakat menyifatkan tuduhan Romney tersebut hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Pada pendapat saya, sebagai pemimpin atau calon presiden seharusnya mencari jalan penyelesaian dan menggandakan usaha untuk membantu mereka yang menuntut demokrasi serta keamanan tanpa mengira kesukaran dihadapi sesebuah negara," jelasnya.    

Langkah memperbaharui tuntutan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara itu dikemukakan semula selepas usaha untuk mendapatkan keanggotaan penuh di PBB gagal berikutan tidak memperoleh undi majoriti di Majlis Keselamatan PBB.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor mengkritik 'jalan pintas' diambil Palestin yang dianggap 'mengelirukan'.
Menurutnya, usaha seperti itu kononnya perlu melalui beberapa fasa seperti rundingan, perjanjian sebelum diiktiraf PBB.
"Sebarang jalan pintas hanya akan membantutkan usaha mereka kerana tiada negara anggota PBB lain mengambil langkah mudah seperti itu," katanya.
Segala kritikan Israel dibidas pemimpin Palestin yang tidak putus asa menyatakan pendirian mereka bahawa negara itu mempunyai hak untuk membuat tuntutan kepada PBB kerana rejim Zionis gagal mematuhi perjanjian yang ditandatangani lebih 20 tahun lalu.

Difahamkan, pusingan terakhir rundingan damai antara Palestin-Israel diadakan pada 2010.

"Rundingan ini seperti satu 'kontrak' untuk tempoh lima tahun. Kami perlu membuat satu rumusan berhubung perjanjian damai dan semua isu asas sepanjang tempoh itu, namun sehingga kini ia sering tertangguh akibat helah Israel.

Namun, ia tidak berjalan seperti yang ditetapkan dan keputusan kami mengemukakan isu ini kepada PBB bukan tindakan sebelah pihak," menurut Erakat.

Apabila Palestin memperoleh status sebagai negara bukan anggota, Israel tidak lagi boleh mempertikaikan mengenai hal itu dan tindakan susulan mereka akan dianggap tidak sah. - CNN