Arafat meninggal akibat diracun
Yasser Arafat
RAMALLAH — Kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat akan digali semula untuk ujian keracunan ke atas rangkanya selepas balu Allahyarham, Suha dan Pihak Berkuasa Palestin meragui siasatan sebelum ini.

Jurucakap Palestin berkata, kubur Arafat akan digali semula pada satu tarikh yang dirahsiakan supaya pasukan tersebut dapat mengambil sampel untuk membuat ujian keracunan.

Katanya, pasukan penyiasat dari Perancis dan Switzerland akan menjalankan siasatan bersama ke atas kematian pemimpin itu, yang meninggal dunia pada 2004.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu akan bertindak secara berasingan, lapor Associated Press (AP), semalam.

Desakan mengkaji semula kematian datang selepas makmal Switzerland mendakwa menemui polonium-210, sejenis isotop radioaktif yang boleh membawa maut pada pakaian yang dikatakan milik Arafat.

Hal ini kemudiannya menyemarakkan lagi syak bahawa pemimpin itu telah diracun.

Sementara itu, pasukan penyiasat jenayah dari Perancis itu dipanggil menyiasat atas permintaan Suha manakala Pihak Berkuasa Palestin menjemput saintis dari Switzerland untuk memeriksa mayat pemimpin itu bagi mengetahui punca kematian beliau yang masih kekal misteri.

Laporan sebelum ini mengatakan beliau meninggal dunia kerana strok, bagaimanapun ada sumber yang mengatakan selama beberapa minggu sebelum meninggal, penyakit sebenar beliau tidak jelas, sehingga membawa kepada teori-teori konspirasi.

Arafat, 75, meninggal dunia di hospital tentera Perancis pada 11 November 2004, dua minggu selepas dia dikejarkan ke sana dari Tebing Barat selepas diserang penyakit misteri.

Mengikut rekod perubatan Perancis, beliau telah mengalami keradangan, penyakit kuning dan mengalami pembekuan darah di sarafnya (DIC).

Bagaimanapun, dunia Arab percaya dia telah dibunuh oleh Israel dan pihak Israel dengan lantang menafikan perkara itu.

Arafat merupakan wajah perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan yang diperjuangkan selama empat dekad dan kekal menjadi pemimpin yang disayangi rakyat Palestin.