Majlis persandingan anak sulung Mohd Ali di Dewan Tun Ali Bukit Katil, kelmarin.
Majlis persandingan anak sulung Mohd Ali di Dewan Tun Ali Bukit Katil, kelmarin.
BANDARAYA MELAKA - Majlis perkahwinan anak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam  berlangsung secara besar-besaran di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, kelmarin, mendapat reaksi kurang senang daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ia dihadiri lebih 130,000 tetamu, sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai majlis perkahwinan paling ramai menerima tetamu.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, majlis itu  dianggap membazir dan keterlaluan.

Menurutnya, Mohd Ali seharusnya melaksanakan perbelanjaan berhemah dan tidak sewenang-wenangnya melakukan pembaziran.

"Beliau sepatutnya mengamalkan kesederhanaan dalam hidup dan tunjukkan contoh yang baik kepada rakyat negeri ini.

“Dengan perbelanjaan dan jemputan yang begitu ramai, ia tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negeri ini. Saya tidak nampak ia keperluan dan saya tidak tahu dari mana beliau memperoleh sumber kewangan," katanya, semalam.

Majlis persandingan anak sulung Mohd Ali iaitu Mohd Ridhwan, 26, dan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali, 26, berlangsung meriah dan turut diserikan dengan kehadiran, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menteri serta ramai kenamaan.
Majlis turut dihiburkan dengan dendangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.