BANGKOK - THAILAND. Mahkamah Thailand semalam menolak tuduhan pembunuhan dan penyalahgunaan kuasa terhadap bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva serta bekas timbalannya di atas tindakan tegas pada bantahan pembangkang empat tahun lalu.

Menurut Channel News Asia, puluhan penunjuk perasaan terbunuh di bawah kerajaan Abhisit dalam pertempuran jalanan antara Baju Merah dan pasukan keselamatan di Bangkok.

Mahkamah Jenayah di ibu negara memutuskan bahawa pendengaran kes adalah di luar bidang kuasanya kerana Abhisit dan timbalannya Suthep Thaugsuban adalah pemegang jawatan awam pada ketika itu dan bertindak di bawah perintah darurat.

Satu-satunya mahkamah yang mempunyai kuasa mempertimbangkan dakwaan adalah Bahagian Jenayah Mahkamah Agung untuk Pemegang Jawatan Politik.

"Mahkamah jenayah hari ini (semalam) memutuskan untuk menolak kedua-dua tuduhan itu," menurut hakim.