Saturday, August 30, 2014

Warga asing terajui MAS


Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pihaknya sudah memulakan proses pencarian CEO baru yang dijangka diumumkan sebelum akhir tahun ini. 

Azman ketika mengumumkan pelan 12 perkara pemulihan MAS berkata, CEO Ahmad Jauhari Yahya juga akan kekal memimpin OldCo sehingga 1 Julai 2015 apabila NewCo mula berkuatkuasa.
Foto
AZMAN mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS pada sidang media, hari ini. FOTO AFP

Menurut beliau, pelan pemulihan bernilai RM6 bilion MAS turut membabitkan pemberhentian kira-kira 6,000 kakitangan atau 30 peratus daripada 20,000 kakitangan semua bahagian syarikat berkenaan bagi meningkatkan kecekapan syarikat.

Katanya, MAS juga akan memberi tumpuan semula ke atas laluan serantau yang menguntungkan berbanding destinasi jarak jauh yang merugikan. 

"Butiran terperinci masih diusahakan oleh MAS tetapi ia akan meliputi semua bahagian. 

"Sebanyak RM1.6 bilion akan diperuntukkan untuk pemberhentian, latihan semula kemahiran serta penempatan semula kakitangan," katanya. 

Menurutnya, perbincangan telah diadakan pagi ini dengan kesatuan sekerja MAS mengenai pelan penstrukturan semula itu, tetapi enggan mendedahkannya. 

Di bawah pelan 12 perkara itu, syarikat baharu yang dijangka ditubuh menjelang Julai 2015, akan mempunyai kira-kira 14,000 kakitangan. 

Khazanah memiliki hampir 70 peratus saham MAS di mana RM1.4 bilion daripada RM6 bilion peruntukan pemulihan itu akan digunakan untuk membeli semua saham yang masih belum dimilikinya. 

"Adalah penting syarikat baharu itu bermula dengan langkah yang betul di segi jumlah kakitangan serta amalan kerja," kata Azman. 

Khazanah akan melabur dalam pusat latihan semula kemahiran, yang akan ditempatkan di Subang, khusus untuk memberi latihan semula kakitangan MAS yang tidah berpindah ke syarikat baharu berkenaan. 

Khazanah dan MAS juga telah mengadakan kerjasama dengan Scicom (MSC) Bhd dan Sutherland Global Services untuk menyediakan latihan kepada kakitangan MAS dan menyerap sebahagian daripada mereka. - AGENSI
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

No comments:

Post a Comment