SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didesak supaya memansuhkan segera Akta Hasutan 1948 dan menepati janjinya yang telah dibuat pada Julai 2012.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan Najib sewajarnya menghentikan pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan PR serta-merta yang masih menggunakan undang-undang itu.

"Dengan penghapusan Akta Hasutan 1948 ini, tiada lagi rakyat yang akan ditindas hanya kerana kelantangan mereka menyuarakan pendapat mahupun mengkritik kerajaan.

Namun, sehingga kini setelah lebih dua tahun, hasrat tersebut dilihat sekadar janji kosong semata-mata," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, beberapa pimpinan PR telah disiasat dan didakwa di bawah akta selepas mengeluarkan kenyataan yang mengkritik pemimpin negara dan Umno.

Antara pimpinan itu ialah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran; Adun Seri Delima; RSN Rayer; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak; Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Adun Seri Setia juga mendakwa akta itu seolah-olah hanya digunakan ke atas pimpinan PR sahaja, sedangkan pimpinan pro-kerajaan lain pula tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Ramai pimpinan BN, Isma dan Perkasa yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang nyata bersifat jenayah tetapi tiada apa-apa tindakan.

"Kenyataan pemimpin Perkasa; Ruslan Kassim ingin memancung empat Ahli Parlimen Pas Selangor kira-kira dua bulan lepas namun tiada tindakan susulan selepas kenyataan saya diambil," ujarnya lagi.