Saturday, August 30, 2014

Geng UMNO!

Anwar dibidas hanya calonkan isteri jadi MB

NASRUDIN HASSAN
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kemelut politik Selangor umpama drama berbalas kenyataan apabila keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menamakan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan Menteri Besar Selangor dibidas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan.
Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh secara sinis menyifatkan keputusan Anwar itu sebagai satu perkara luar biasa.
"Berdasarkan nas dan khilaf perbahasan ulama, melantik wanita bagi mengetuai sebuah kerajaan negeri sebagai perkara biasa.
"Tetapi apabila terdapat pihak yang hanya mahu isterinya sahaja menjadi Menteri Besar bagi sebuah kerajaan negeri tanpa khilaf dan tidak perlu diperbahaskan lagi kerana ia keputusan yang muktamad, maka ini adalah satu perkara luar biasa," katanya melalui laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, keputusan menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai muktamad.
Anwar juga mahu semua pihak termasuk Pas menerima keputusan yang dimuktamadkan pada mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 17 Ogos lalu.
Sementara itu, Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad berkata, Pas negeri akan mengadakan perbincangan dalaman bagi mendapatkan pandangan akar umbi berhubung pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor.
Menurut beliau, buat masa ini pihaknya akur dengan pendirian kepimpinan tertinggi parti yang memutuskan tidak akan menuntut jawatan tersebut dan hanya mencalonkan wakil daripada PKR.
"Itu (pandangan akar umbi Pas Selangor) kita bincang di peringkat dalaman nanti, namun keputusan untuk senarai pencalonan Menteri Besar, Pas pusat yang akan tentukan," katanya kepada pemberita selepas majlis bacaan Yasin, tahlil serta solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri menafikan spekulasi beliau turut dicalonkan sebagai Menteri Besar bersama-sama tiga lagi ADUN Pas negeri ini.
Menurutnya, Pas negeri tidak mengadakan perbincangan mengenai nama-nama calon Menteri Besar dalam kalangan ADUN Pas negeri semasa mesyuarat malam kelmarin.
"Sebarang nama calon Menteri Besar daripada Pas hanya akan diputuskan oleh Pas pusat. Tidak ada nama-nama itu (senarai empat ADUN Pas Selangor sebagai calon Menteri Besar)," jelasnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pas Selangor mencalonkan empat nama dalam kalangan ADUN parti itu untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan sebagai Menteri Besar.
Empat ADUN terbabit selain Iskandar ialah Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi; Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Tanjung Sepat, Ir. Mohd. Haslin Hassan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140830/po_03/Anwar-dibidas-hanya-calonkan-isteri-jadi-MB#ixzz3BpR1M3M0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment