Saturday, August 30, 2014

Pramugari MAS bertudung, antara harapan dan realiti


ROY RASUL | .
RAMAI berpandangan kerajaan perlu muhasabah berikutan tragedi malang yang melibatkan dua pesawat kepunyaan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tahun 2014 ini.

Kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac sehingga sekarang masih menjadi misteri kerana seramai 239 penumpang dan anak kapal tidak dapat dikesan. Ketika tangisan pilu MH370 belum reda, negara diratapi pula dengan tragedi tembakan sebuah lagi pesawat negara iaitu MH17 di Ukraine.

Dalam tragedi 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang membawa seramai 298 penumpang dalam perjalanan dari Amsterdem ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Ukraine.

Mula transformasi pramugari MAS bertudung

Mengingati tragedi itu, Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Pengguna PAS Pusat, Normala Sudirman berkata kerajaan perlu melaksanakan transformasi ke arah mengembalikan imej dan reputasi MAS dengan beberapa pendekatan.

Pendekatan itu hendaklah ke arah kaedah yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi demi menjamin keberkatan dan produktiviti yang cemerlang dunia akhirat.

"Salah satu daripadanya langkah membenarkan pramugari dan kakitangan penerbangan bertudung menutup aurat dengan sempurna selain menghentikan hidangan arak kepada penumpang," katanya.

Perkara itu katanya, telah lama disuarakan  pimpinan dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, tetapi tidak diambil peduli kerajaan dan pengurusan MAS.

Ini kerana masyarakat tidak mahu potensi pekerja wanita dalam sektor yang boleh menyumbang kepada produktiviti negara dijadikan mangsa untuk tujuan komersial dan disalahgunakan serta kecantikan semula jadi fitrah kewanitaan dieksploitasikan untuk memajukan perniagaan tidak kira dari aspek apa sekalipun.

Sebagaimana tegas Normala, jika kerajaan dan MAS masih tidak berubah, malang bagi wanita di Malaysia kerana ini merupakan 'penghinaan' kepada mereka dari aspek penghormatan dan kerjaya.

Menurutnya, dari segi roh keberkatan dan aspek spiritual, membenarkan pramugari menutup aurat sepenuhnya adalah lambang imansipasi wanita yang dihormati martabat dan maruahnya.

Wanita bukan mangsa salahguna seperti barang dagangan perhiasaan untuk mengabui mata pembeli atau sebagai pelaris jualan.

Sehubungan itu katanya, reformasi atau perubahan ke arah transformasi pengurusan pemulihan imej syarikat MAS ini adalah penting agar imej wanita yang bergelar pramugari sempurna dari aspek penampilannya.

"Kita reda atas apa yang berlaku dengan dua tragedi yang menimpa baru-baru ini, namun muhasabah perlu dilakukan dengan mengambil ibrah tersurat atau tersirat agar segala usaha murni diberkati Illahi," kata Normala.

Isu sama turut disuarakan bekas Pegawai Komunikasi dan Jenama MAS, Salbiah Wahab, bahawa pengurusan MAS perlu menyedari banyak kebaikan syarikat penerbangan itu menyelesaikan isu arak dan hijab.

Dengan tidak menghidangkan arak, MAS dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan menutup jalan keburukan kepada penumpang.

Manakala menutup aurat mengikut syari'at boleh membawa kebaikan dan menjadi penyebab turunnya keberkatan dan rahmat Allah.

Hijab tingkatkan seri eksklusif pramugari MAS

Oleh itu, semua pihak perlu positif dalam soal menutup aurat dan menghapuskan arak dalam pesawat.

"Dalam isu ini saya berharap Kesatuan Sekerja perlu bekerjasama dengan pihak pengurusan. Kerana fungsi mereka bukan sahaja sebagai badan kebajikan pekerja tetapi pembantu dan penasihat kepada pihak pengurusan," katanya.

Tidak dapat dinafikan layanan MAS sangat eksklusif namun katanya jika pramugari Muslim berhijab seri ekslusifnya makin terserlah.

Dalam kata lain sepatutnya pramugari digalakkan menutup aurat ketika menjalankan profesionnya.

Ini disokong Ameerah Wilayah Persekutuan (Ameerah WP) cadangan pelbagai pihak yang mahukan kru penerbangan MAS beragama Islam diberikan pilihan untuk menutup aurat.

Pengarahnya, Khairi Syutina Mahmood, berpendapat  etika pemakaian hijab selari dengan tuntutan syariat Islam.

Menutup aurat akan lebih menjaga kesopanan dan maruah wanita dan baginya wanita yang berpakaian menutup aurat lebih yakin dan berketrampilan.

Apa lagi sudah menjadi 'trend' masyarakat hari ini berhijab atau menutup termasuk artis dan selebriti.

Tambahan pula, wanita akan terpelihara dari kejadian yang tidak diingini seperti cabul, rogol, maksiat dan perzinaan.

Khairi Syutina menegaskan bahawa pandangan mengatakan bertudung menyebabkan MAS akan kerugian atau tidak memenuhi kehendak masyarakat antarabangsa tidak tepat. Hakikatnya pelanggan memandang kepada perkhidmatan dan kualiti sesebuah syarikat penerbangan berbanding pakaian pramugarinya.

"Apa ertinya pakaian pramugari yang mendedahkan aurat sedangkan kualiti MAS tidak terjaga. Perkhidmatan yang cemerlang asas untuk sesebuah syarikat mendapat tempat dan pilihan buat pelanggannya," ujarnya.

Malah beliau percaya berpakaian menutup aurat boleh menjadi suatu imej kepada MAS yang mengundang penghormatan dan kekaguman masyarakat antarabangsa.

Baginya, MAS sewajarnya mencontohi syarikat penerbangan Brunei yang mewajibkan pramugari mereka bertudung.

Mereka mampu melakar kejayaan dan keuntungan tanpa menggadaikan prinsip agama bahkan dalam aspek perniagaan dan profesion, keberkatan dapat mengelakkan daripada berlakunya kecelakaan udara atau sesuatu yang tidak diingini seperti tragedi MH17 dan MH370. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

No comments:

Post a Comment