Saturday, July 9, 2011

Amaran polis

  • Foto

  • Foto

    ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya dari arah Bandar Baru Bangi menghala Tol Kajang, semalam.

Keadaan boleh jadi tegang, jejas keselamatan; Penyokong 3 kumpulan ditegah masuk ibu kota

KUALA LUMPUR: Perintah larangan berada di lokasi panas sekitar ibu kota hari ini, bagi mencegah perhimpunan haram tidak terhad terhadap 91 individu dari BERSIH, PERKASA dan Pemuda UMNO tetapi semua penyokong mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, menegaskan perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini kelmarin, mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah adalah langkah pencegahan bagi menghalang perhimpunan haram itu diteruskan.
Ismail berkata, polis terpaksa mengambil langkah mengetatkan kawalan untuk menentukan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam terus dikekalkan.
“Sekatan jalan raya di tempat tertentu terpaksa diadakan untuk mengelakkan kumpulan pengacau daripada memasuki bandar raya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, hasil pemantauan dan penemuan beberapa senjata berbahaya sebelum ini, dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan haram berkenaan, risikan keselamatan polis mendapati pihak tertentu masih bertekad menggunakan apa saja helah bagi meneruskan penganjuran perhimpunan tanpa permit itu.

“Walaupun langkah awal sudah diambil polis untuk menjamin keselamatan orang ramai khususnya dalam bandar raya Kuala Lumpur, penganjur perhimpunan haram ini masih berazam meneruskan niat mereka tanpa menghiraukan undang-undang, perintah mahkamah, nasihat serta amaran polis.

“Malah, mereka sudah mula bergerak masuk ke Kuala Lumpur secara persendirian dan kumpulan kecil untuk mengelak dikesan serta ditahan polis,” katanya.
Kelmarin, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, 91 individu dari BERSIH, PERKASA dan Pemuda UMNO dilarang berada atau mengambil bahagian dalam apa-apa perhimpunan di semua lokasi panas di ibu kota antara jam 8 pagi hingga 6 petang hari ini.

Daripada semua mereka, 60 dari BERSIH, PERKASA (14) dan Pemuda UMNO (11). Antara yang tersenarai ialah Datuk S Ambiga, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, Khairy Jamaluddin dan Datuk Ibrahim Ali.

Ismail juga berkata, maklumat menunjukkan kumpulan itu merancang berdemonstrasi dan berarak di beberapa lokasi di ibu kota dan merancang menggunakan masjid tertentu sekitar bandar raya Kuala Lumpur sebagai strategi mereka.

Sebelum ini katanya, polis sudah mengambil pelbagai langkah termasuk mencadangkan kepada penganjur supaya perhimpunan itu diadakan dalam stadium di luar Kuala Lumpur, tetapi permohonan permit diterima membabitkan perhimpunan dalam stadium di ibu negara.

“Polis sudah memanggil penganjur pada 7 Julai dengan cadangan perhimpunan itu diadakan di luar Kuala Lumpur untuk mengelak gangguan kepada kehidupan harian orang ramai, keselamatan awam dan kesesakan lalu lintas. Malangnya, cadangan ini pun ditolak dan pihak penganjur tidak mahu bertolak ansur,” katanya.
Berita Harian Online | Amaran polis

No comments:

Post a Comment