Saturday, July 9, 2011

Gelombang BERSIH 2.0 gagal disekat



Penangkapan 1,401 orang dalam satu perhimpunan massa mungkin satu rekod baru yang dicipta, malah beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim, Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam) tercedera semasa polis menyuraikan perhimpunan dengan melepaskan gas pemedih mata, di KL Sentral.

Kebanyakan tokoh utama dalam PAS dan PKR ditangkap, seperti Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Azmin Ali, Tian Chua, Fuziah Salleh, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan yang disenarai sebagai 91 orang yang dilarang masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur hari ini, juga ditangkap. Senarai ini sudah cukup untuk menjelaskan sikap kerajaan dan strategi polis untuk berdepan dengan perhimpunan ini.

Meskipun dijadualkan secara rasmi di Stadium Merdeka pada jam 2 petang, namun perarakan bermula dengan lebih awal, memandangkan penangkapan telah dimulakan sejak awal pagi lagi. Kira-kira 1,000 orang mengiringi pemimpin PAS Hatta Ramli, untuk berarak dari lorong berhampiran Masjid Jamek, menuju ke Menara MayBank.

Kemuncak: 50 hingga 60 ribu orang


Kelompok manusia ini semakin mengembang sepanjang perarakan, dan mereka singgah di depan Menara MayBank berhampiran Pudu Raya. Dua kumpulan lagi, satu dari Pudu Raya dan satu lagi dari Jalan Petaling, bertemu dengan kelompok manusia di Menara MayBank, pada kira-kira jam 1 petang.

Hatta Ramli terus berucap, menyeru mereka yang masih mempunyai T-shirt kuning BERSIH 2.0 untuk memakai baju tersebut. Sebelum ini, polis menangkap mereka yang berpakaian kuning di sekitar pusat bandar, sejak awal pagi, malah mereka yang tidak berpakaian kuning juga ditangkap.

Lautan manusia mencecah antara 50,000 hingga 60,000 pada kemuncaknya, walaupun pihak polis hanya menganggarkan 5,000 hingga 6,000 orang. Namun, menurut pemerhatian, kelompok ini lebih besar daripada perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007. Malah, apa yang menarik, lebih ramai peserta Cina dan India, yang rata-rata dari golongan muda terlibat dalam perhimpunan ini.

Gas pemedih mata dan meriam air berkimia

Polis dan FRU tiba di Menara MayBank pada kira-kira jam 1.30 petang. Meriam air berkimia dan gas pemedih mata ditembak secara bertalu-talu ke arah peserta perhimpunan. Sekumpulannya berlari ke arah Jalan Petaling, dan satu lagi kumpulan berlari menuju ke arah Pudu. Tangkapan dilakukan, tahanan digari dengan tali plastik, malah kekerasan digunakan sehingga terdapat tahanan yang berdarah di bahagian kepalanya. Gas pemedih mata ditembak dan helikopter disengajakan untuk terbang dengan lebih rendah, agar gas itu dikipas dan menyebar dengan lebih cepat.

-/Merdekareview
Gelombang BERSIH 2.0 gagal disekat ~ Kembara Jr @Blogspot

No comments:

Post a Comment