Saturday, July 9, 2011

Polis temui pelbagai jenis bahan buat letupan

IPOH 8 Julai - Polis Perak merampas pelbagai jenis bahan membuat letupan yang dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara esok dalam dua pemeriksaan di Sitiawan dan Tapah, semalam.

Antara bahan yang ditemui adalah 21 botol kecil minuman mineral berisi minyak petrol, empat bateri jenama Sony saiz AA, 12 beg plastik mengandungi baja dan lapan helai baju T putih bertulis perkataan kotor.

Turut ditemui dalam operasi 'Ops Padam Bersih' di tanah perkuburan Cina di Jalan Kampung Cina, Sitiawan adalah sekeping nota bahasa Mandarin yang ditulis pada keratan akhbar bermaksud, 'arahan bos, kesemua 21 botol mahu baling di pejabat UMNO. Baju putih 'kotor' adalah simbol dalam perhimpunan Bersih. Hati-hati polis di tempat itu. Habis baca bakar.'

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, dalam pemeriksaan di susur masuk Plaza Tol Tapah pula, polis merampas empat guni simen bercampur kapur, satu guni kecil serbuk hitam dipercayai sekam padi, dua guni plastik serbuk putih dan satu guni plastik berisi besi serta getah paip.

Katanya, seorang lelaki warga Kemboja yang membawa bahan-bahan berkenaan menggunakan teksi yang disewa ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui lima biji mangkuk tanah, satu beg plastik berisi pasir dan satu tong plastik mengandungi cecair disyaki asid," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau menambah, lelaki berusia 41 tahun dan memiliki kerakyatan tetap itu ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan ketika memandu teksi bernombor pendaftaran Johor, dari Ulu Tiram, Johor ke Tapah.

Kesemua barang-barang yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk disiasat dan kita percaya ia merupakan bahan-bahan untuk membuat letupan, katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

No comments:

Post a Comment