Saturday, July 9, 2011

Guru trauma dan mahu ambil cuti panjang

MUAR: 'Saya trauma,' kata seorang guru, Cik Noraza Mohd Shah, 23 tahun, yang menjadi tahanan selama lebih kurang tujuh jam oleh seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman di Pusat Jagaan Kanak-kanak SeriKids, dekat Taman Cemerlang, Sungai Abong, di sini, kelmarin.

Guru yang baru memulakan tugas di tadika berkenaan tujuh bulan lalu itu berkata beliau trauma dengan kejadian itu dan mahu mengambil cuti panjang bagi menenangkan fikiran.

Menceritakan detik cemas itu, Cik Noraza berkata suspek seorang yang baik hati serta bijak mengatur strategi, termasuk menyuruh semua yang dalam premis berkenaan menyebarkan berita kononnya ada seorang kanak-kanak dibunuh.

'Dia beberapa kali meminta kami membunuhnya menggunakan sebatang tukul besi yang diubahsuai.

'Bagaimanapun kami tidak sampai hati kerana dia terlalu baik serta berjanji tidak menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak yang ditahan,' katanya yang ditemui akhbar Harian Metro di Pekarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, kelmarin, selepas menjalani rawatan.

Cik Noraza berkata, suspek berkali-kali meminta guru dalam pusat berkenaan membunuhnya dan dia meminta sepucuk pistol daripada polis agar mudah digunakan membunuh diri.

Ditanya mengenai keadaan kanak-kanak sepanjang kejadian, Cik Noraza berkata sebahagian besar murid menjalani pembelajaran kelas seni di tingkat bawah manakala selebihnya berada di bilik di tingkat atas banglo dua tingkat itu.

'Bagi mengelak suasana panik dan bising, suspek menyuruh kami menidurkan kanak-kanak sebelum mengikat semua guru termasuk saya menggunakan wayar telefon.

'Selain bersikap lembut, lelaki berkenaan mendukung seorang budak ke tandas, malah kami dibenarkan ke tandas sesuka hati tanpa kawalan,' katanya lagi.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment