Saturday, July 9, 2011

Demokrat mahu Parti Pheu Thai dibubarkan

BANGKOK 8 Julai - Parti Demokrat hari ini mengambil tindakan undang-undang untuk membubarkan Parti Pheu Thai yang memenangi pilihan raya umum baru-baru ini.

Parti Demokrat mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) mengambil tindakan tersebut dengan alasan ahli-ahli politik yang diharamkan daripada politik, telah terlibat dalam kempen Pheu Thai.

''Kami meminta EC untuk mencadangkan kepada Mahkamah Perlembagaan supaya membubarkan Phue Thai.

''Ia berdasarkan dakwaan Phue Thai membenarkan mereka yang tidak dibenarkan terlibat dalam politik selama lima tahun, turut sama dalam perancangan polisi, bercakap melalui telefon dan memberi ucapan melalui video dan juga sejumlah calon ,'' kata ketua pasukan perundangan parti Demokrat, Wiratana Kalayasiri kepada AFP.

Bagaimanapun, proses perundangan itu dijangka memakan masa beberapa bulan untuk diselesaikan dan tidak akan menghalang Yingluck Shinawatra menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara ini.

Dua parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dibubarkan sebelum ini dan pemimpin mereka termasuk Thaksin diharamkan daripada menyertai bidang politik.

Yingluck bagaimanapun tidak berada dalam barisan kepimpinan Phue Thai dan situasi itu akan membolehkannya mengelak daripada diharamkan daripada politik jika partinya dibubarkan.

Demokrat mula berkuasa pada 2008 selepas Phue Thai dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana penipuan dalam pilihan raya umum.

Penyandang jawatan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva juga hampir dikenakan pengharaman daripada politik pada akhir 2010 selepas didakwa menyalahgunakan dana negara dan sumbangan haram. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment