Saturday, July 9, 2011

Awang temui BMW X5 Sosilawati

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa seorang penduduk flat di Subang Jaya melihat kenderaan BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada hari mereka dilaporkan hilang dipercayai dibunuh.

Sarjan Jaswant Singh, 52, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama 'Awang' di antara pukul 8.45 dan 8.50 malam semasa beliau bertugas sebagai penyelia di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 September 2010.

"Saya terima maklumat daripada Encik Awang bahawa dia telah nampak kenderaan jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 yang diletakkan di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya.

"Saya seterusnya mengarahkan anggota unit MPV (kereta peronda polis) untuk ke tempat itu bagi memastikan kenderaan itu memang berada di lokasi yang dimaklumkan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Saksi ke-18 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jaswant berkata, beliau memaklumkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, semua ketua bahagian dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengenai penemuan kereta itu dan menunggu arahan selanjutnya sehingga pasukan forensik dan unit-unit lain tiba.

Ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, Matan, saksi itu berkata, beliau tidak mencatatkan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat pemanggil itu.

Amer Hamzah: Ada tidak Awang beritahu berapa lama kereta itu berada di sana?

Jaswant: Awang kata kereta tersebut sudah lama berada di situ tetapi dia baru perasan (kereta milik Sosilawati) selepas menonton berita di televisyen.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment