Saturday, July 9, 2011

Eropah sekat aktivis Palestin

TEL AVIV: Sekumpulan aktivis pro- Palestin yang cuba berlepas ke Israel dihalang daripada menaiki pesawat di beberapa lapangan terbang di Eropah.

Dalam pada itu, dua aktivis Amerika Syarikat yang tiba di Israel untuk menyertai kumpulan ‘Selamat Datang ke Palestin’ yang juga digelar ‘flytilla’ dihantar pulang, awal pagi semalam, kata pegawai rejim Zionis. Israel meningkatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion ekoran kunjungan aktivis berkenaan dan meminta syarikat penerbangan asing menghalang penumpang yang disenarai hitam daripada menaiki pesawat ke Israel.


Beratus-ratus aktivis berkata mereka akan pergi ke Israel untuk membantah dasar kejam rejim itu terhadap rakyat Palestin. Berikutan permintaan rejim berkenaan, beberapa syarikat penerbangan melarang 200 aktivis menaiki pesawat ke Israel dari Eropah, kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld. “Syarikat penerbangan tidak membenarkan mereka menaiki pesawat kerana kami memberitahu mereka tidak boleh memasuki Israel,” katanya.

Penganjur berkata seramai 600 orang dijadual mengambil bahagian. Pihak berkuasa Israel berkata mereka mendakwa jumlah itu lebih ramai. Dua aktivis yang tiba ke Israel dari Greece malam tadi sudah dihantar pulang, kata jurucakap rejim, Oded Ben-Hur.


Menurutnya, dua aktivis warga Amerika itu pada awalnya merancang menyertai flotila yang disepatutnya belayar ke Semenanjung Gaza minggu lalu tetapi disekat kerajaan Greece. - AP

myMetro | Eropah sekat aktivis Palestin

No comments:

Post a Comment