Saturday, July 9, 2011

Militan Indonesia diusir kali kedua

Agus Salim terbabit pengeboman didapati menyusup masuk guna nama palsu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengusir seorang anggota kumpulan militan warga Indonesia, Agus Salim, 34, yang ditahan awal bulan lalu di Johor Bharu, ke negara asalnya buat kali kedua, lusa.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, ketika memaklumkan perkara itu, berkata tugas pengusiran anggota kumpulan militan itu akan dilakukan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen.
“Selepas melakukan siasatan terperinci dan menyeluruh, kita sudah mencapai kata sepakat iaitu mengusir Agus Salim ke negara asalnya dalam tempoh terdekat iaitu tiga hari lagi,” katanya kepada pemberita di Maktab PDRM, Cheras, di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Agus Salim yang ditahan semula selepas menyeludup masuk ke negara ini dengan menggunakan nama palsu, dipercayai bersubahat dengan Mas Selamat Kasturi, pemimpin rangkaian Jemaah Islamiah Singapura yang ditahan di Johor pada April 2009.

Agus pada mulanya ditahan pada 2009 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang disyaki membantu menyembunyikan Mas Selamat sebelum dia dihantar pulang ke Indonesia pada 2009, tetapi siasatan polis menunjukkan bahawa Agus kembali memasuki Malaysia menggunakan nama baru, beberapa bulan lalu.

Difahamkan, sepanjang berada di negara ini, Agus bekerja di restoran sama dia bekerja sebelum ditangkap pada 2009 dan dipercayai bertindak membantu anggota JI di Malaysia.

JI dipersalahkan kerana rentetan serangan di rantau ini, termasuk pengeboman Bali 2002 yang meragut 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.
Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan sijil kepada 38 graduan pegawai polis dan tentera selepas menamatkan pengajian bidang Diploma Sains Siasatan (DSS).
Daripada jumlah itu, seramai 38 graduan adalah Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat pegawai Polis Diraja Brunei Darussalam (PDRB) dan dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Berita Harian Online | Militan Indonesia diusir kali kedua

No comments:

Post a Comment