Saturday, July 9, 2011

Remaja Indonesia ‘ikat perut’ beli tiket Kylie

JAKARTA: Penyanyi Kylie Minogue melompat di tengah cahaya ungu ketika ribuan penonton bertepuk tangan dan bersorak.

Satu adegan konsert luar biasa, kecuali ia diadakan di Indonesia, negara paling ramai penduduk beragama Islam di dunia dan harga tiket lebih mahal daripada gaji bulanan untuk kebanyakan penduduk.
Namun Minogue tetap dengan pendiriannya dalam mengadakan persembahan di negara itu.
Artis lain termasuk Justin Bieber, Janet Jackson dan Bruno Mars mengadakan konsert sejak beberapa bulan lalu. Semuanya menyasarkan penduduk muda Indonesia, keempat terbesar di dunia dengan kelas pertengahan rancak berkembang berupaya membeli tiket.

“Indonesia berada dalam radar artis di Asia kerana potensi pasarannya besar dan penduduk tidak kisah ‘ikat perut’ untuk membeli tiket,” kata pakar muzik, Bens Leo.

Farid Dermawan dan 14 rakannya mengeluarkan Rp1.5 juta (RM527.47) setiap seorang untuk membeli tiket, 15 peratus lebih tinggi berbanding gaji minimum bulanan di ibu kota ini. Tiket berharga Rp1 juta hingga Rp4.5 juta (RM351.95 hingga RM1,583.58).

“Saya sanggup berbelanja lebih kerana saya peminat Kylie sejak saya dilahirkan. Saya amat teruja,” kata Dermawan, 34, seorang pengarah klip video, ketika sayap perak yang dilekatkan pada baju luar hitam yang dibuatnya untuk konsert itu dikibas.
90 peratus tiket konsert Minogue terjual, kata promoter EC Entertainment, yang menambah harga tiket itu mampu dibeli. – Reuters
Berita Harian Online | Remaja Indonesia ‘ikat perut’ beli tiket Kylie

No comments:

Post a Comment