BEERSHEBA - Bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang koma selama tujuh tahun menunjukkan tanda-tanda positif dengan adanya beberapa aktiviti di bahagian otak.

Satu pasukan saintis Israel dan Amerika Syarikat (AS) mengatakan ujian terbaru menunjukkan beliau memberi tindak balas positif terhadap rangsangan luar.

Aktiviti otaknya juga semakin meningkat ketika beliau ditunjukkan gambar-gambar keluarganya dan ketika doktor memainkan rakaman suara anaknya.

Bekas perdana menteri yang berusia 84 tahun itu koma sejak 2006 selepas diserang strok.
Sejak itu, beliau hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Para doktor di Hospital Soroka berkata, semasa ujian dijalankan terdapat aktiviti otak dan rangsangan yang diberi oleh bekas perdana menteri itu.

“Beliau mungkin mampu mendengar dan beberapa maklumat penting yang masuk ke dalam otaknya boleh diproses,” kata Pengarah Neorologi , Alon Friedman.

Sharon sebelum ini merupakan seorang pegawai tentera yang terkenal yang berjuang dalam tiga peperangan sebelum memasuki arena politik.
Walaupun disanjung rakyatnya, beliau dicerca Palestin.
Semasa bertugas sebagai Menteri Pertahanan, beliau pernah mendalangi pencerobohan Israel di Lubnan pada tahun 1982 dan menyebabkan ratusan rakyat Palestin dibunuh.