Wednesday, January 30, 2013

NAFI 7 RIBU HAMAS MASUK MESIR



Gempar apabila sebilangan jaringan internet dan web berita menyebarkan bahawa 7 ribu orang Palestin pengikut Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menyelinap masuk ke Mesir.

Hasil penelitian MAP, sebilangan rangkaian berita Mesir serta siaran satelit dan agensi berita Palestin menukil berita asal dari JARINGAN BERITA MESIR (ش.أ.م) yang melaporkan Badan Keamanan Negara Mesir telah memerhatikan gerak-geri 7 ribu orang bersenjata HAMAS, sebahagiannya dibekalkan senjata ringan menyelinap masuk ke Mesir melalui terowong bawah tanah yang menghubungkan antara Semenanjung Gaza dengan Rafah Mesir. Kemudian, sumber tersebut berkata satu sumber yang dipercayai memaklumkan kepada ش.أ.م bahawa Badan Keamanan Negara Mesir telah memerhatikan gerak-geri pengikut HAMAS sejak dari jam pertama pada hari Selasa lalu sewaktu mereka menyelinap masuk ke Mesir melalui terowong bawah tanah.

Lapor lagi, 7 ribu orang yang terbabit berpeleseran sekitar bandar Rafah selama 24 jam sebelum bertolak ke Kaherah. Berhubung kejadian ini, Badan Keamanan Negara telah mengemukakan notis kepada pemimpin politik berhubung kemasukan 7 ribu orang HAMAS ke Mesir untuk mendapatkan arahan, namun kesemuanya dapat melepaskan diri sebaik sahaja mereka tiba di bandar Ismailiah. Tambahan pula, sehingga detik ini, pemimpin politik tidak memutuskan apa-apa arahan. Jelas Sumber tersebut, Badan Keamanan Negara membuat andaian pengikut-pengikut HAMAS berada di tempat-tempat strategik di Mesir terutamanya Istana Ithadiah.

Bagaimanapun, menurut laporan berita HURRIYAH WAL-ADALAH, perkara ini telah dinafikan oleh sumber keamanan malah menegaskan bahawa laporan berita seumpama ini tidak benar dan tidak ada hubung kait langsung dengan realiti yang berlaku.

Sumber keamanan meminta media massa agar selidik terlebih dahulu sebarang terbitan dan jangan sesekali menyebarkan berita bohong yang mengeruhkan lagi pertelingkahan sesama masyarakat ekoran situasi sulit yang dilalui Mesir pada waktu ini.

Berhubung laporan ش.أ.م, jurucakap HAMAS, Sami Abu Zuhri dalam kenyataan beliau yang disiarkan oleh agensi PALTIMES telah menempelak tindakan sebahagian media Mesir yang mengeluarkan tuduhan tanpa asas dan membantah sekeras-kerasnya cara yang dilakukan oleh media Mesir.

Beliau menyatakan, HAMAS sangat menginginkan keamanan dan kestabilan buat Mesir serta amat menghormati pimpinan Mesir dan kesemua pihak di Mesir.

Jurucakap HAMAS menggesa media massa Mesir agar tidak mengheret mana-mana pihak Palestin dalam konflik dalaman Mesir.

Siaran satelit, EL-TAHRIR semasa menyiarkan berita secara langsung berhubung '7 ribu orang bersenjata HAMAS menyelinap masuk ke Mesir' turut meminta Dr. Mahmud Az-Zahar selaku anggota Biro Politik HAMAS membuat ulasan laporan berkenaan.

Di awal respon, Dr. Mahmud meminta supaya mengesahkan terlebih dahulu mana pihak rasmi yang menyatakan sedemikian. Lalu, beliau berkata, laporan ini tidak sahih 100% dan beliau menafikan sebarang kaitan pemuda-pemuda berkenaan dengan HAMAS yang ditimbulkan oleh hos siaran EL-TAHRIR.

"Media yang menipu sengaja menyebarkan berita ini, padahal pihak rasmi Mesir tidak mengesahkan perkara berkenaan," respon Dr. Mahmud kepada hos siaran EL-TAHRIR.

Sumber:
28/01/2013, akhbar harian HURRIYAH WAL-ADALAH
28/01/2013, web berita Paltimes
28/01/2013, youtube (gaza pal) menukil dari EL-TAHRIR
26/01/2013, web berita Shfa
25/01/2013, web Jaringan Berita Mesir (sumber asal)

Sumber : Mini-Pavilion 'From Palestine With Love'(MAP)

No comments:

Post a Comment